POTONGAN ballet pada koleksi The Kitty 2.
POTONGAN ballet pada koleksi The Kitty 2.
TAMPAK menonjol pada gaya kasual
TAMPAK menonjol pada gaya kasual
ZOEY (kanan) dan Alex bersama sebahagian kasut dilancarkan.
ZOEY (kanan) dan Alex bersama sebahagian kasut dilancarkan.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Sebut saja sepatu kulit, terbayang potongan membosankan serta formal. Tidak sesuai dipakai bersantai mahupun dikenakan bersama pakaian kasual.

Namun berbeza dengan jenama terkenal dari Jerman, Obermain apabila bukan saja menampilkan kasut berkualiti tinggi untuk pemakai wanita mahupun lelaki, ia turut diberi ‘nafas baru’ apabila muncul dengan rekaan cukup ‘trendy’.

Lihat saja pada koleksi terbaru, Obermain Lindeberg mendapat sentuhan pelumba ternama, Alex Yoong menerusi dua pilihan gaya iaitu mudah disarungkan serta kasut bertali dengan enam lubang menampilkan elemen lebih urban.

Menurut Alex, mudah dikenakan tetapi tidak kalah segi gaya antara kriteria ditawarkan pada koleksi berkenaan.

“Ciri sepatu ini mempunyai elemen ‘on-the-go’ seperti saya kerana mudah dikenakan selain perincian jahitan pada permukaan kasut membuatkan ia kelihatan ranggi.

“Tambah menarik sepatu ini boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu hitam, perang, coklat dan ‘maroon’ menggunakan kualiti kulit anak lembu premium selain kombinasi fabrik lembut sebagai alas dalam memberi pengalaman pemakaian selesa serta pengudaraan baik pada kaki.

“Salutan getah pada belakang kasut memberi pelindungan pada kasut selain pelengkap kepada mereka mahu tampil gaya separa formal mahupun kasual,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan Obermain, Zoey Tong berkata, selain koleksi Lindeberg, ada beberapa seleksi sepatu dilancarkan memeriahkan Obermain musim ini.

“Antara pilihan menarik ialah koleksi Maynard untuk peminat potongan but sederhana tinggi serta The Mattias untuk mereka yang sukakan kasut ‘smart kasual’.

“Kedua-duanya mempunyai ciri unik apabila datang dengan perincian menarik serta menggunakan material kulit bermutu tinggi.

“Seiring dengan perkembangan sepatu lelaki, kami turut datangkan pilihan kasual dengan variasi warna lebih menarik. Menggembirakan kami apabila di sisi Alex, kami turut disertai pelumba profesional Indonesia, Alexandra Asmasoebrata sebagai duta koleksi Obermain wanita.

“Sesuai dengan imej pelumba kasual serta ranggi, koleksi sepatu The Felicia, The Gilligan, The Katty 2 mahupun Aily2 yang mempunyai potongan kasut ballet serta The Ella dan Ellina bakal memberikan pengalaman memakai sepatu kulit selesa.

“Uniknya pelbagai pilihan tekstur kulit bersama sentuhan inovasi pembuatan seperti ekstra ringan, ekstra lentur mahupun lebih pegangan pada tapak memberikan pemakai seleksi sepatu ini dapat bergaya dengan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:01 AM