ZULKIFLEE (kanan) dan Julie nekad meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank untuk menceburi bidang pembuatan kek perkahwinan
ZULKIFLEE (kanan) dan Julie nekad meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank untuk menceburi bidang pembuatan kek perkahwinan
JULIE sanggup berulang-alik dari Ireland ke Malaysia selama setahun demi minat yang sama dalam bidang pembuatan kek perkahwinan.
JULIE sanggup berulang-alik dari Ireland ke Malaysia selama setahun demi minat yang sama dalam bidang pembuatan kek perkahwinan.
ZULKIFLEE memulakan langkah dalam penghasilan kek perkahwinan dengan mengambil kursus di ICCA Kota Damansara .
ZULKIFLEE memulakan langkah dalam penghasilan kek perkahwinan dengan mengambil kursus di ICCA Kota Damansara .
BANKER2BAKER terkenal dengan penghasilan bunga ‘gum paste’ mereka yang halus dan realistik.
BANKER2BAKER terkenal dengan penghasilan bunga ‘gum paste’ mereka yang halus dan realistik.
BUTIK kek dan kafe Banker2baker mempamerkan pelbagai model kek perkahwinan selain pelbagai kek potong dan pastri untuk minum petang.
BUTIK kek dan kafe Banker2baker mempamerkan pelbagai model kek perkahwinan selain pelbagai kek potong dan pastri untuk minum petang.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Nekad mengambil keputusan berhenti kerja awal demi mencabar diri menceburi bidang perniagaan yang tidak pasti masa hadapannya.

Namun, berkat kesabaran dan kesungguhan berhadapan pelbagai rintangan akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaan dua bersaudara ini berkembang maju.

Walaupun mengambil risiko melepaskan kerjaya tetap sebagai pegawai bank, pemilik bersama Butik Kek dan Kafe Banker2baker Zulkiflee Mawan, 53, dan Julie Haslina Hasan, 33, tidak pernah putus asa menghasilkan kek perkahwinan sehingga berjaya meraih jualan sehingga lima angka sebulan.

Berkongsi cerita ketika pembabitan awal dalam bidang ini, Zulkiflee berkata pada awalnya maklum balas yang diterima pelanggan kurang memuaskan.

“Pada Mac 2015, saya mula serius dan fokus pada perniagaan ini secara sepenuh masa selepas mengambil persaraan awal.

“Saya ambil kursus di International Centre of Cake Artistry (ICCA), Kota Damansara untuk belajar teknik menghias kek. Ketika itu saya tumpu pada dekorasi kek saja dan saya upah orang lain untuk buat kek.

“Rata-rata yang membuat tempahan dengan memberi maklum balas rupa bentuk dan rekaan kek menarik namun, rasa kek itu sendiri kurang sedap. Jadi, saya ambil keputusan belajar membakar kek sendiri,” katanya.

Zulkiflee berkata, beliau pergi ke ICCA semula untuk mempelajari resipi dan teknik membakar kek.

“Selepas dapat menghasilkan kek sendiri, saya perkenalkan semula dan membuat pembaharuan dan dari situ rakan dan pelanggan mula memberi maklum balas positif.

“Bagi terus memantapkan teknik sedia ada, saya ke Paris untuk belajar membuat pelbagai jenis pastri seperti tat, creme brulee dan macaroon di beberapa akademi terkemuka di sana,” katanya.

Zulkiflee turut mempelajari teknik menghasilkan dekorasi bunga daripada gadis Singapura yang juga bekas pelatih artis kek terkemuka Amerika Syarikat, Maggie Austin.

“Saya kagum dengan hasil kerja tangan Maggie Austin dan menanam impian untuk belajar menghasilkan bunga tampak realistik daripadanya tapi tidak kesampaian kerana beliau sibuk menulis buku.

“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berusaha dan berjaya berhubung pula dengan gadis Singapura yang pernah menjalani latihan industri dengan Maggie Austin.

“Saya belanja sekitar RM5,000 untuk belajar hasilkan tiga jenis bunga selama dua hari selain didedahkan dengan kaedah penghasilan bahan untuk membuat bunga seperti ‘gum paste’,” katanya.

Bagi Julie pula, mempunyai minat yang sama mendorong dirinya untuk ulang-alik dari Ireland ke Malaysia membantu perniagaan kek perkahwinan bapa saudaranya itu.

“Suami saya bekerja di Ireland dan untuk tahun pertama saya habiskan dua bulan di Malaysia dan sebulan di Ireland secara bergilir-gilir.

“Walaupun pada awal pembabitan kami dalam bidang perniagaan ini sukar tapi kami bersungguh meneruskan perjuangan kerana kami yakin dengan hasil kerja tangan kami,” katanya.

Usaha dan titik peluh dua bersaudara ini terbalas apabila mereka mula mendapat tempahan yang tidak putus selepas menyertai satu pameran perkahwinan di Lembah Klang.

“Kami perlu akui pada mulanya agak ‘down’ kerana terdapat ramai pesaing pembuat kek di media sosial tapi kami terus tampil berbeza dengan mengetengahkan dekorasi kek yang halus dan unik.

“Namun, kami mula dikenali selepas menyertai satu pameran kek yang berlangsung di pusat beli-belah Mid Valley.

Walaupun penganjur memberitahu kami adalah pembuat kek pertama menyertai pameran perkahwinan tapi kami nekad untuk ambil risiko kerana yakin ia adalah platform yang tepat,”katanya.

Respons dan maklum balas memberangsangkan daripada pameran itu membuka jalan kepada mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pembuat kek tempatan serta komen pengunjung.

Mengimbau kembali kenangan lalu, Zulkiflee dan Julie juga tidak menyangka mampu berada di tahap ini kerana pernah menceburi bidang yang sama sembilan tahun lalu.

“Pada 2008, saya dan Julie pernah menceburi bidang perniagaan kek cawan secara sambilan. Selepas itu, perniagaan kek cawan menjadi trend dan tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Persaingan tinggi membuatkan kami mencuba pula bidang perancang perkahwinan secara sambilan tapi terputus di tengah jalan selepas saya mengikuti isteri sambung pengajian di United Kingdom dan Julie ikut suami yang bekerja di Ireland,” katanya.

Ingin terus berjaya dan berkembang dalam penghasilan kek perkahwinan sentuhan dekorasi halus dan elegan, Zulkiflee dan Julie mula membuka butik kek dan kafe bagi mempamerkan kerja tangan mereka.

“Sebelum ini kami buka studio di apartment tapi selepas mendapat permintaan yang banyak kami perlu ruang kerja yang lebih luas.

“Lot kedai ini lebih luas dari yang kami jangka jadi kami bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian belakang menempatkan ruang untuk membakar dan menghias kek manakala ruang depan dijadikan ruang pameran, sesi rundingan dengan pelanggan dan kafe.

“Bagi yang ingin menikmati hidangan minum petang boleh juga dapatkan pelbagai jenis kek dan pastri di sini,” katanya.

Kunjungi Butik Kek dan Kafe Banker2Baker di 34J-0-9, Jalan Wangsa Delima 6, Seksyen 5 Wangsa Maju atau layari laman FB Banker2baker Cake Boutique dan Instagram @banker2baker untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:02 AM