KUIL Parthenon di Acropolis, adalah tarikan pelancong utama di Greece. FOTO Reuters
KUIL Parthenon di Acropolis, adalah tarikan pelancong utama di Greece. FOTO Reuters
AFP

Athens: Acropolis, tarikan pelancong yang paling banyak dikunjungi di Greece, ditutup kepada orang ramai pada waktu paling panas pada Khamis lalu.

Pelancong tidak dapat melawat Parthenon dan tinggalan purba lain di atas tapak arkeologi yang disenaraikan warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu, antara tengah hari dan 5 petang waktu tempatan.

Pakar meteorologi menyatakan ia adalah gelombang haba paling awal di Greece, bermakna suhu melebihi 38 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari.

Di tengah Athens, kepanasan meningkat kepada 42 darjah Celsius, dengan ramalan haba menyebabkan amaran kesihatan dan penutupan sekolah.

Suhu yang masih lebih panas direkodkan di Pulau Crete (44.5 darjah Celsius ) dan di semenanjung Peloponnese (43.9 darjah Celsius ), menurut laman web meteo.gr Balai Cerap Negara Athens.

Beberapa tapak arkeologi Yunani lain di Crete, Dodecanese, Cyclades dan Peloponnese juga ditutup sebagai langkah berjaga-jaga terhadap cuaca panas melampau.

Menteri krisis iklim dan perlindungan awam Greece, Vassilis Kikilias memberi amaran mengenai risiko kebakaran akibat angin kencang yang boleh bertiup ke seluruh negara.

"Perlindungan awam berada dalam tahap berjaga-jaga tinggi," katanya.

Risiko kebakaran akan menjadi sangat tinggi pada Jumaat di 10 wilayah, termasuk di Attica, yang mengelilingi Athens, menurut amaran kementerian sama.

Suhu dijangka berkurangan mulai Jumaat dan seterusnya.

Acropolis terpaksa ditutup pada Julai tahun lalu semasa gelombang panas selama dua minggu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia diikuti dengan kebakaran besar di negara itu, yang menurut Balai Cerap Kebangsaan Athens, membabitkan hampir 175,000 hektar kawasan hutan dan tanah ladang.

Untuk rekod, hampir empat juta pelawat berpusu-pusu ke Acropolis pada 2023, popularitinya meningkat sebahagiannya disebabkan oleh pelancong yang tiba dengan kapal persiaran yang singgah di pelabuhan Piraeus yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 12:05 PM