PELANCONG di kuil Parthenon di Acropolis, ketika gelombang panas melanda Athens, Greece. FOTO Reuters
PELANCONG di kuil Parthenon di Acropolis, ketika gelombang panas melanda Athens, Greece. FOTO Reuters
AFP

Athens: Lokasi utama tarikan pelancong di Greece iaitu Acropolis, terpaksa ditutup pada waktu cuaca paling panas pada Jumaat dan Sabtu ketika negara itu dilanda gelombang panas.

Menteri Kebudayaan Lina Mendoni memberitahu penyiar awam ERT, akses ke tapak arkeologi zaman purba yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu, digantung antara tengah hari hingga 5 petang sebelum dibenarkan untuk dibuka semula.

Beliau berkata, tindakan penutupan sementara itu dalam tempoh berkenaan adalah untuk melindungi pekerja dan pengunjung daripada gelombang haba.

Suhu mencecah 39 darjah Celsius di Athens pada Jumaat, dan sebahagian negara boleh menyaksikan paras tertinggi sehingga 44 darjah Celsius pada Sabtu, menurut perkhidmatan cuaca negara EMY.

Tapak pelancongan popular lain yang di Acropolis, seperti Agora Purba, masih dibuka.

Acropolis, yang menyaksikan peningkatan besar dalam bilangan pelawat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, biasanya dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Beberapa pelancong kecewa berada di hadapan pintu masuk Acropolis yang ditutup, mengatakan laman sesawang rasminya tidak memberikan maklumat yang mencukupi.

"Saya berasa sangat tidak selesa mengenainya, tetapi apa yang boleh kita lakukan?" kata pengarah sumber manusia Serbia Sonya Ivkovic, yang merancang untuk kembali ke Acropolis apabila pintu masuk ke tempat ikonik itu dibuka semula selepas 5 petang.

"Kami tidak menjangkakannya (akses Acropolis ditutup), kami hanya datang dan fikir ia dibuka.

"Tetapi tindakan ini masuk akal, ia benar-benar panas hari ini sehingga kami sudah minum dengan banyak untuk menghilangkan lesu," kata seorang doktor dari Australia, Emelie Den, kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 10:30 AM