PELANCONG bergambar dengan paparan digital yang menunjukkan suhu di Death Valley. FOTO AFP
PELANCONG bergambar dengan paparan digital yang menunjukkan suhu di Death Valley. FOTO AFP
Agensi

Washington: Sepuluh lokasi ini tersenarai tempat paling panas di dunia, berdasarkan rekod suhu yang disahkan.

Suhu di lokasi itu tidak kekal panas melampau sepanjang masa. Namun, rekod di lokasi berkenaan menunjukkan bacaan purata suhu yang tinggi.

Furnace Creek, Death Valley (Amerika Syarikat/ AS): 56.7 darjah Celsius

Tempat paling panas di dunia adalah Furnace Creek di Death Valley, California (AS), di mana suhu 56.7 darjah Celsius direkodkan pada 10 Julai 1913.

Pada bulan musim panas, Death Valley mencatatkan purata suhu harian 45 darjah Celsius. Ia hanyalah suhu udara, dengan haba permukaan jauh lebih tinggi.

Pada 15 Julai 1972, suhu 93.9 darjah Celsius direkodkan di Death Valley, hanya beberapa darjah daripada suhu air mendidih.

Suhu lain yang lebih tinggi direkodkan dalam beberapa tahun sejak itu, namun ia tidak disahkan.

Kebili (Tunisia): 55 darjah Celsius

Suhu terpanas yang direkodkan di Afrika direkodkan di Kebili, Tunisia, pada 7 Julai 1931 iaitu 55 darjah Celsius.

Ia adalah suhu kedua tertinggi yang pernah direkodkan di dunia.

Ahvaz (Iran): 54 darjah Celsius

Rekod suhu tertinggi 54 darjah Celsius direkodkan di Ahvaz, Iran, antara 4.51 petang dan 5 petang waktu tempatan pada 29 Jun 2017.

Ahvaz yang juga Ibu kota wilayah Khuzestan itu mempunyai penduduk kira-kira 1.3 juta orang.

Tirat Tsvi (Israel): 54 darjah Celsius

Pada 21 Jun 1942, Tirat Tsvi di Israel merekodkan suhu tertinggi iaitu 54 darjah Celsius.

Terletak berhampiran sempadan Israel-Jordan, Tirat Tsvi terletak di sebelah barat Sungai Jordan. Ia mempunyai populasi hanya 975 penduduk pada 2021.

Mitribah (Kuwait): 53.9 darjah Celsius

Suhu kelima tertinggi dunia disahkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dicatatkan di stesen cuaca Mitribah, Kuwait, dengan 53.9 darjah Celsius.

Kepanasan luar biasa itu direkodkan pada 21 Julai 2016 dan mewakili rekod tempat terpanas yang disahkan di Asia.

Basra (Iraq): 53.9 darjah Celsius

Timur Tengah adalah bahagian dunia yang panas, dengan beberapa suhu yang memecahkan rekod melebihi 50 darjah Celsius.

Basra, Iraq, adalah salah satu lokasi itu dan pernah merekodkan suhu tinggi 53.9 darjah Celsius, pada 22 Julai 2016.

Basra terletak di Sungai Shatt al-Arab di Semenanjung Arab dan didiami kira-kira 1.5 juta penduduk.

Turbat (Pakistan): 53.7 darjah Celsius

Lokasi ketujuh paling hangat dunia adalah Turbat, Pakistan, yang mencatat suhu 53.7 darjah Celsius di situ, pada 28 Mei 2017.

Turbat dikenali sebagai salah satu bandar terpanas di Asia.

TURBAT yang terletak di Pakistan  dikenali sebagai salah satu bandar terpanas di Asia.
TURBAT yang terletak di Pakistan dikenali sebagai salah satu bandar terpanas di Asia.

Al Jazeera Border Gate (Emiriah Arab Bersatu/ UAE): 52.1 darjah Celsius

Suhu 52.1 darjah Celsius direkodkan di pintu sempadan Al Jazeera di UAE pada Julai 2002.

Suhu seperti itu cenderung bertahan hanya 15 minit.

Mexicali, Mexico: 52 darjah Celsius

Suhu itu direkodkan di Lembah Mexicali, Mexico, pada 28 Julai 1995. Ia menjadikannya suhu kesembilan terpanas yang direkodkan di dunia.

Kawasan yang terletak di utara Mexico itu mempunyai salah satu iklim paling ekstrem di Mexico, dengan purata suhu tinggi Julai iaitu 42.2 darjah Celsius dan purata suhu tinggi Januari iaitu 21.1 Celsius.

Jeddah, Arab Saudi: 52 darjah Celsius

Jeddah, Arab Saudi pernah merekodkan suhu 52 darjah Celsius pada 22 Jun 2010. Ia adalah adalah rekod tertinggi untuk wilayah itu, melepasi 51 darjah Celsius yang direkodkan di Al-Asha yang terletak berhampiran, tiga hari sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 7:10 AM