TANDA penghormatan terhadap mangsa tragedi Manchester Arena 2017. FOTO AFP.
TANDA penghormatan terhadap mangsa tragedi Manchester Arena 2017. FOTO AFP.
Agensi

London: Ratusan individu yang terselamat dan ahli keluarga mangsa pengeboman Manchester Arena 2017 memfailkan saman terhadap MI5, mendakwa agensi itu gagal bertindak awal bagi menghalang serangan daripada berlaku.

Insiden ketika berlangsungnya konsert penyanyi terkenal, Ariana Grande mengorbankan 22 orang selepas pengebom berani mati dikenali Salman Abedi memasang bom di akhir konsert.

Lebih 250 orang memfailkan tuntutan secara berkumpulan kepada Tribunal Penyiasatan (IPT) yang mengendalikan aduan terhadap perkhidmatan risikan.

Tiga firma mewakili mangsa dalam tuntutan itu yang dipercayai kes pertama MI5 disaman kerana kegagalannya menghentikan serangan pengganas domestik.

Firma guaman dalam kenyataan dikeluarkan, mengesahkan tuntutan yang difailkan.

"Pasukan undang-undang yang mewakili mangsa mengesahkan mereka secara kolektif menyerahkan tuntutan kumpulan bagi pihak lebih 250 klien kepada IPT.

"Memandangkan kes sedang berjalan, kami tidak dapat memberikan sebarang butiran atau mengulas lebih lanjut pada peringkat ini," kata kenyataan itu.

Tahun lalu, siasatan dijalankan mendedahkan M15 boleh menghalang serangan berkenaan daripada berlaku, sekiranya bertindak terhadap maklumat utama yang diterimanya beberapa bulan sebelum kejadian.

Pengerusi badan siasatan, Sir John Saunders berkata, terdapat kemungkinan realistik yang penyiasat boleh menghentikan pengeboman itu, jika bertindak cekap terhadap maklumat risikan diterima.

Siasatan itu juga mendapati kepulangan penyerang dari Libya terbabit akan diberi perhatian dengan sangat serius, jika maklumat risikan penting yang diterima pada bulan-bulan sebelum serangan diutamakan.

Turut didedahkan, jika siasatan ke atas Abedi dimulakan lebih awal, M15 berpeluang menemui peranti bom buatan sendiri yang disimpan di dalam kereta di Manchester.

Terdahulu, bapa kepada Saffie Roussos iaitu mangsa paling muda (8 tahun) terbunuh dalam serangan itu menyifatkan MI5 bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.

"Pada 2017, kami berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga dan semua orang sudah diberi amaran mengenai serangan terhadap negara ini.

"Dan MI5 yang satu-satunya tugas menyiasat, dibiayai dengan baik dan berkelengkapan, mempunyai 22 maklumat mengenai Salman Abedi, jika mereka belajar daripada pengalaman, mereka tidak akan membiarkan Abedi masuk ke dalam arena.

"Jadi, ya... M15 bagi saya yang paling perlu dipersalahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 2:51 PM