ANGGOTA polis Britain berhampiran Bangunan Parlimen di London. FOTO AFP
ANGGOTA polis Britain berhampiran Bangunan Parlimen di London. FOTO AFP
Reuters

London: Suspek menyerang parlimen di sini dilahirkan di Britain dan pernah disiasat agensi perisik negara itu.

Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, siasatan itu adalah kes lama dan dia bukan sebahagian daripada risikan semasa.

“Apa yang saya boleh sahkan adalah lelaki itu dilahirkan di Britain dan beberapa tahun lalu, dia pernah disiasat MI5 berhubung kebimbangan keganasan ekstrem,” katanya.

May berkata, tiada sebarang risikan atau maklumat terdahulu mengenai niatnya atau tujuan serangan tersebut.

"Apabila pertimbangan operasi membenarkan, identitinya akan diumumkan," katanya.

Sehingga kini, polis menahan lapan suspek berhubung serangan lelaki yang membunuh tiga orang termasuk anggota polis dan mencederakan 40 orang lain sebelum ditembak mati ketika cuba memasuki Parlimen, semalam.

Ketua Pengarah bahagian risikan tempatan MI5, Andrew Parker sebelum ini berkata, operasi agensi itu digerakkan sepenuhnya bagi membantu polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 9:10 PM