AFP

Copenhagen: Ratu Denmark, Margrethe II yang terkenal sebagai raja paling lama memerintah di Eropah, pada Ahad, mengumumkan baginda akan turun takhta pada 14 Januari depan.

Berikutan itu, Margrethe II akan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anakandanya, Putera Mahkota Frederik.

Margrethe, 83, memerintah selama 52 tahun dan satu-satunya ratu di Eropah selepas kematian Ratu Elizabeth II dari Britain.

Baginda dipuji kerana memodenkan institusi diraja Denmark selama setengah abad pemerintahannya.

Margrethe II membuat pengumuman mengejut itu ketika ucapan Ambang Tahun Baharunya yang disiarkan di televisyen Denmark dan menyatakan masalah umur dan kesihatan sebagai alasannya melepaskan takhta.

"Dalam tempoh dua minggu lagi saya menjadi Ratu Denmark selama 52 tahun.

MARGRETHE II. FOTO fail AFP
MARGRETHE II. FOTO fail AFP

"Pada 14 Januari depan, genap 52 tahun saya menggantikan ayah tercinta, saya akan berundur sebagai Ratu Denmark. Saya akan menyerahkan takhta kepada anakanda saya, Putera Mahkota Frederik," katanya.

Terdahulu, Ratu Margrethe II berulang kali menyatakan tidak akan turun takhta, tetapi pembedahan belakang yang dijalani pada Februari membuatkannya memikirkan masa depan sama ada sekarang adalah masa yang sesuai untuk melepaskan tanggungjawab itu kepada generasi akan datang.

Ratu Margrethe II terkenal dengan bakat seninya dan sangat popular di Denmark.

"Baginda berjaya menjadi ratu yang menyatukan negara Denmark dalam masa perubahan besar: globalisasi, kemunculan negara berbilang budaya, krisis ekonomi pada 1970-an, 1980-an dan sekali lagi pada 2008 hingga 2015, dan pandemik (Covid019) .

"Asas popularitinya ialah ratu itu benar-benar bukan politik," kata sejarawan sejarah Lars Hovebakke Sorensen memberitahu AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 10:35 AM