TOPI fedora milik mendiang Michael Jackson. FOTO AFP
TOPI fedora milik mendiang Michael Jackson. FOTO AFP
AFP

Paris: Topi yang dipakai penyanyi terkenal antarabangsa , mendiang Michael Jackson (MJ) sebelum mempersembahkan tarian moonwalk khasnya buat kali pertama dijual pada lelongan di bandar ini, baru-baru ini, dengan harga 77,640 euro (kira-kira RM386,100).

Topi fedora hitam itu dianggarkan bernilai 60,000 euro (kira-kira RM298,377) hingga 100,000 euro (kira-kira RM497, 319) oleh rumah lelongan Hotel Drouot.

Ia adalah kemuncak lelongan membabitkan kira-kira 200 memorabilia rock.

Meskipun begitu, harga tertinggi jatuh kepada gitar yang dimiliki oleh ahli legenda blues T-Bone Walker iaitu mencecah 129,400 euro (kira-kira RM643,530).

MJ menanggalkan topi fedora itu sambil mempersembahkan lagu popularnya Billie Jean ketika konsert Motown yang ditayangkan di televisyen pada 1983 iaitu ketika kemuncak kegemilangannya.

Beliau kemudian mempamerkan tarian moonwalk iaitu gerakan ke belakang kelihatan tanpa usaha sambil kelihatan berjalan ke hadapan yang sinonim dengannya.

Memorabilia muzik rock menjadi perniagaan besar.

Penganjur bersama Lemon Auction membuat kejutan tahun lalu dengan penjualan gitar yang dipecahkan oleh Noel Gallagher pada malam kumpulan Oasis, berpisah di bandar ini. Ia berikutan berikutan pergaduhan dengan adiknya Liam.

Menariknya, alat muzik itu dijual pada harga 385,500 euro (kira-kira RM1.9 juta).

Bulan ini, satu siri lelongan untuk barangan kepunyaan Freddie Mercury termasuk piano yang digunakan untuk menggubah lagu Bohemian Rhapsody mendatangkan hasil 46.5 juta euro (kira-kira RM231 juta) untuk rumah lelongan, Sotheby's, dan menarik pembida dari 76 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:25 PM