GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

London: Bengang sering diganggu serangga termasuk lebah, seorang posmen mengarahkan pemilik rumah memusnahkan bunga yang ditanam sekitar peti surat di kediamannya.

Mirror UK melaporkan, posmen berkenaan memasukkan nota di peti surat meminta pemilik rumah memikirkan semula landskap sekitar kediaman yang menjadi punca gangguan serangga itu.

Wanita yang tidak dinamakan itu berkata, posmen sudah muak dengan bunyi lebah yang mengganggunya ketika menghantar surat.

"Nota posmen itu turut tertera: 'Mungkin tahun depan anda boleh menanam bunga untuk lebah jauh dari peti surat supaya pembawa mel anda tidak disengat," kata wanita itu menerusi laman Reddit.

Wanita itu menjelaskan dia menanam bunga di kebun itu empat tahun lalu untuk menarik ulat, rama-rama dan pendebunga lain untuk membantu ekosistem di kawasan itu.

Katanya, dia mempunyai taman bunga yang ditanam di tepi peti surat dan secara peribadi dia merasakan serangga dan lebah yang datang tidak bertindak agresif.

Ingin mengetahui sama ada tindakannya menanam bunga berhampiran peti suratnya adalah salah, dia bertanya pendapat pengguna lain di Reddit.

Seorang pengguna berkata: "Anda salah tetapi tidak sengaja. Perkara elok ialah bertimbang rasa dengan menanam bunga jauh dari kawasan yang dikunjungi orang ramai."

Pengguna lain menambah: "Melainkan lebah diprovokasi, mereka tidak cenderung untuk menyengat. Saya rasa posmen itu mungkin bukan peminat lebah, tetapi untuk meninggalkan nota pasif-agresif adalah agak tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 3:39 PM