SITI Nor Aishikin bersama racun kimia Biopestisid Multi Virus.
SITI Nor Aishikin bersama racun kimia Biopestisid Multi Virus.
Hafiz Ithnin


KUBIS bulat atau nama saintifiknya Brassica oleraceae antara sayur krusifer daripada keluarga Brassicaceae yang popular ditanam kebanyakan petani di tanah tinggi Malaysia seperti di Cameron Highlands, Pahang.

Malah, kubis bulat juga mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana ia mempunyai pelbagai khasiat dan kaya dengan vitamin C, K, B6, B9 dan zat mineral seperti mangan serta kalsium untuk manfaat penggunanya.

Namun, dalam mengusahakan kubis bulat terdapat cabaran tersendiri terutama serangan makhluk perosak.

Antara perosak utama tanaman ini adalah serangga perosak Order Lepidoptera (jenis rama-rama), ulat ratus (Spodoptera litura), ulat plutella (Plutella xylostella), ulat jalur (Hellula undalis) dan ulat jantung kubis (Crocicolomia pavonana).

Serangan serangga perosak ini boleh menyebabkan kerosakan pada hasil sayur krusifer antara 26 hingga 100 peratus jika tiada langkah pengawalan dilakukan.

Oleh itu, penggunaan racun kimia dilihat langkah berkesan bagi memastikan serangan serangga perosak dapat dikurangkan atau dihentikan bagi menghasilkan kualiti tanaman kubis yang lebih baik.

Pegawai Penyelidik Kanan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Siti Noor Aishikin Abdul Hamid berkata, penggunaan racun kimia yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kesan buruk kepada ekosistem tanaman dan petani itu sendiri.

 PENGGUNAAN racun untuk membendung masalah serangan serangga perosak seperti kubis perlu dilakukan dengan betul.
PENGGUNAAN racun untuk membendung masalah serangan serangga perosak seperti kubis perlu dilakukan dengan betul.

"Selain mencemarkan alam sekitar, penggunaan racun kimia secara berlebihan boleh menyebabkan tinggalan residu atau sisa racun pada sayur-sayuran, membunuh serangga bermanfaat seperti lebah, kelulut dan parasitoids serta mengganggu keseimbangan ekosistem," katanya.

Sehubungan itu, Mardi giat menghasilkan teknologi yang mesra alam seperti teknologi agen kawalan biologi dan biopestisid bagi menbantu petani mengatasi cabaran serangan serangga perosak.

"Terkini, rakan penyelidik dan saya sudah menghasilkan teknologi Biopestisid Multi Virus bagi mengawal perosak Lepidoptera sayur krusifer seperti kubis, sawi dan kailan yang kebiasaannya diserang keempat-empat serangga perosak berkenaan.

"Menerusi kajian yang dijalankan sejak 2013, kami meluaskan kesannya kepada empat serangga perosak Lepidoptera sayur krusifer yang lain berbanding teknologi biopestisid sebelum ini hanya mampu mengawal satu jenis serangga perosak," katanya.

KEADAAN kubis yang rosak teruk akibat serangan ulat jantung kubis.
KEADAAN kubis yang rosak teruk akibat serangan ulat jantung kubis.

Katanya, biopestisid multi virus sudah diuji keberkesanannya di lapangan selama lima tahun dan mendapati tahap keberkesanannya mengawal serangga perosak berkadar sama dengan teknologi biopestisid yang ada di pasaran iaitu mampu mengawal antara 56 hingga 86 peratus.

Selain itu, penggunaan biopestisid multi virus ini tidak menjejaskan populasi serangga bermanfaat seperti parasitoid.

"Penggunaan teknologi ini boleh digunakan untuk aktiviti pertanian bandar yang ketika ini ramai orang mula menceburinya untuk menanam sayur-sayuran berkenaan bagi kegunaan sendiri.

ANTARA pencapaian yang diterima menerusi pengenalan teknologi berkenaan.
ANTARA pencapaian yang diterima menerusi pengenalan teknologi berkenaan.

"Bagi pekebun yang mengusahakan tanaman berskala besar pula, ia dapat membantu mengurangkan penggunaan racun kimia yang tidak terkawal turut boleh membina kerintangan atau kekebalan serangga perosak terhadap racun kimia itu sendiri," katanya.

Katanya, apabila berlaku kerintangan atau kekebalan serangga perosak terhadap racun kimia, petani perlu menambah lebih banyak penggunaan racun kimia yang akhirnya memberi kesan kepada kos pengeluaran sayur-sayuran menjadi lebih tinggi.

Katanya, bagi menggunakan biopestisid ini sebanyak 10gram biopestisid multi virus dilarutkan ke dalam 10 liter air.

"Larutan biopestisid boleh dicampur dengan agen pelekat. Kemudian, larutan biopestisid multi virus disembur di permukaan atas dan bawah daun sayur-sayuran krusifer.

"Semburan biopestisid ini disaran dilakukan pada sebelah petang. Jika hujan, semburan Biopestisid Multi Virus perlu diulang semula. Kematian larva mula kelihatan seawal hari ketiga selepas semburan," katanya.

Katanya, ketika ini hasil kajian yang dilakukan sudah berada di peringkat akhir dan dalam proses runding cara dengan pihak yang berminat untuk tujuan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:22 AM