Reuters

Helsinki: Kira-kira 24 orang, kebanyakannya kanak-kanak, cedera apabila jambatan pejalan kaki sementara runtuh di bandar Espoo, Finland, di luar ibu negara Helsinki, kata pasukan penyelamat.

Bagaimanapun kecederaan itu tidak mengancam nyawa, kata Hospital Helsinki dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebahagian daripada sekumpulan pelajar gred lapan yang pulang dari lawatan lapangan, lapor harian Finland Helsinging Sanomat, memetik seorang pelajar yang telah menyertai rombongan itu dan tidak cedera.

Polis berkata, jambatan sementara itu dibina daripada papan lapis ketika pembinaan sedang dijalankan di kawasan itu.

Media Finland menyiarkan gambar sekurang-kurangnya lima orang terbaring di atas tanah sambil dijaga oleh anggota penyelamat.

Anggota penyelamat memantau lokasi jambatan pejalan kaki sementara yang runtuh. - FOTO Reuters
Anggota penyelamat memantau lokasi jambatan pejalan kaki sementara yang runtuh. - FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 5:22 PM