PELANCARAN Barbie: Create Your Own.
PELANCARAN Barbie: Create Your Own.
TIGA selebriti bersama anak masing-masing (dari kiri) Wayne Chua dan Celestia, Dynas Mokhtar bersama Khyra, Elaine Daly serta Eva.
TIGA selebriti bersama anak masing-masing (dari kiri) Wayne Chua dan Celestia, Dynas Mokhtar bersama Khyra, Elaine Daly serta Eva.
BARBIE: Create Your Own rangsang kreativiti bersama patung kesayangan.
BARBIE: Create Your Own rangsang kreativiti bersama patung kesayangan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Dunia imaginasi kanak-kanak selalunya memberi inspirasi kepada mereka untuk menyerlahkan potensi diri. Bermain anak patung, bercakap sendirian, bersolek sambil bercerita di depan cermin, semua aktiviti ini sebenarnya berupaya menjana minda kanak-kanak untuk berfikir secara kreatif.

Mungkin ada waktunya kita melihat anak seolah-olah terlalu leka bermain, namun jangan sesekali menegah atau memarahi mereka tanpa usul periksa.

Boleh jadi waktu bermain itulah mereka mempelajari asas bagaimana menzahirkan emosi, melontar vokal, menyusun tutur kata dan berimaginasi mengenai karakter, suasana, impian serta cita-cita.

Sebagai menyokong minat dan kecenderungan kanak-kanak untuk terus berfikir secara kreatif, syarikat pengeluar mainan, Mattel, membawakan pengalaman baru buat julung kali di Asia, Barbie: Create Your Own.

Acara menarik itu diatur di tiga lokasi utama bermula di Sunway Piramid, Mid Valley (1 hingga 4 Jun), KLCC (8 hingga 11 Jun) dan One Utama (14 hingga 18 Jun). Ia bagi membuka ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk berimaginasi dengan patung yang mereka inginkan.

Menurut Pengurus Jenama GIRLS Jennifer Bay, Barbie: Create Your Own adalah acara menarik untuk merangsang kreativiti kanak-kanak.

“Mereka boleh datang ke lokasi acara dan memilih patung Barbie kesukaan, seterusnya membuat pilihan pakaian dan kasut mengikut daya kreativiti serta imagi­nasi masing-masing.

“Paling menarik, kanak-kanak juga berpeluang mengabadikan nama mereka sendiri di kotak patung,” katanya.

Jelas Jennifer, pengalaman menyeronokkan itu tidak terhenti setakat memilih pakaian, tetapi mereka juga boleh memilih aksesori tambahan, kelengkapan serta ‘kehidupan’ untuk Barbie kesayangan.

“Umpamanya, jika kanak-kanak itu berimaginasi mengenai watak doktor, mereka boleh dapatkan kit doktor Barbie. Begitu juga jika mereka membayangkan kehidupan santai, memiliki haiwan peliharaan, hebat di dapur, bijak berdandan dan sebagainya.

“Secara tidak langsung, kita sebenarnya mendorong kanak-kanak untuk menjadi pencerita terbaik bagi watak yang mereka ciptakan di samping terus berimaginasi dengan keadaan di sekeliling,” katanya.

Selain acara itu, Jennifer berkata pihaknya juga me­nyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel bercerita, aktiviti mewarna dan sudut kreatif.

“Bagaimanapun, kami sentiasa berusaha untuk kekal relevan kepada generasi ibu bapa dan kanak-kanak perempuan akan datang. Kami mahu Barbie terus menjadi inspirasi dan pencetus ekspresi diri untuk kanak-kanak lebih berani serta kreatif.

“Musim ini kami mahu mencetuskan pelbagai imaginasi kreatif dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan mendengar kisah serta pengalaman mereka menyesuaikan diri dengan dunia Barbie.

“Sebagaimana falsafah Barbie yang menyebut seorang wanita mempunyai pilihan, kami mahu kanak-kanak juga mempunyai pilihan dalam dunia mereka dan menjadi apa sahaja yang diinginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:05 PM