AFP

SYARIKAT permainan, Mattel memperkenalkan patung Barbie pertama yang bertudung di New York, semalam sebagai penghormatan kepada atlet lawan pedang Amerika Syarikat (AS), Ibtihaj Muhammad.

Ibtihaj, 31, adalah atlet Olimpik AS pertama yang berhijab ketika bersaing.

Ibtihaj berkata, rekaan itu bagai impian zaman kanak-kanaknya yang menjadi kenyataan.

“Terima kasih Mattel kerana mengumumkan saya sebagai ahli keluarga Barbie Shero yang baru.

“Saya bangga kanak-kanak perempuan kini dapat bermain dengan Barbie yang berhijab,” katanya di Twitter.

Sementara itu Mattel berkata, Barbie baru itu adalah “inspirasi bagi kanak-kanak perempuan yang sebelum ini tidak mempunyai wakil dalam bidang sukan dan budaya” selain mengharapkan ia boleh mendorong mereka untuk berjaya dalam cita-cita mereka.

Patung yang sebahagian daripada koleksi ‘Sheroes’ itu berpakaian lawan pedang serta bertudung.

Mattel turut menyiarkan gambar Ibtihaj bersama Barbie baru itu di Twitter.

“Kami sangat teruja memberi penghormatan kepada Ibtihaj Muhammad dengan Barbie khas ini. Ibtihaj terus memberi inspirasi kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di mana-mana,” katanya.

Jurucakap syarikat itu berkata, ia akan dijualkan secara dalam talian mulai tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 1:37 PM
IBTIHAJ memegang patung Barbie direka dengan wajahnya di New York. FOTO Reuters dan AFP
IBTIHAJ memegang patung Barbie direka dengan wajahnya di New York. FOTO Reuters dan AFP