SEHO Uyan, yang kehilangan empat saudaranya duduk di kawasan runtuhan bangunan di Adiyaman, Turkiye. FOTO Reuters
SEHO Uyan, yang kehilangan empat saudaranya duduk di kawasan runtuhan bangunan di Adiyaman, Turkiye. FOTO Reuters
AFP

Istanbul: Pihak berkuasa Turkiye menahan 48 orang kerana mencuri atau cuba memperdayakan mangsa susulan gempa bumi di negara itu, lapor media negara pada Sabtu.

Suspek ditahan di lapan wilayah sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai jenayah berkenaan selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 melanda Turkiye, kata agensi berita Anadolu.

Satu laporan kemudian menyatakan bahawa 42 suspek ditahan di wilayah Hatay, manakala enam lagi ditahan kerana cuba memperdaya mangsa di Gaziantep, dengan menggunakan telefon.

Gempa bumi itu dan gempa susulan sehingga kini membunuh hampir 26,000 orang di Turkiye dan Syria.

Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengumumkan perintah darurat selama tiga bulan di 10 wilayah di tenggara Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi berkenaan.

Pendakwa raya kini boleh menahan individu dengan tempoh tambahan tiga hari berbanding hanya empat hari sebelum ini, di bawah perintah darurat itu, menurut dekri diterbitkan menerusi warta rasmi pada Sabtu.

Erdogan pada Sabtu berikrar untuk menangani kecurian.

"Kita sudah mengumumkan perintah darurat," katanya ketika lawatan di wilayah terjejas di Diyarbakir.

"Ini bermakna dari sekarang, orang ramai yang terbabit dalam kecurian atau culik akan tahu akan berdepan tindakan daripada pihak berkuasa," kata Erdogan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 9:46 AM