SETEM The British Guiana One-Cent Black on Magenta. FOTO Agensi
SETEM The British Guiana One-Cent Black on Magenta. FOTO Agensi
Agensi

London: Sukar dipercayai namun hakikatnya, setem pos 1856 ini dianggap sebagai objek paling mahal di dunia mengikut berat kerana dianggarkan bernilai AS$8.5 juta (kira-kira RM37.4 juta).

Portal Dunya News melaporkan, setem The British Guiana One-Cent Black on Magenta adalah setem pos yang unik kerana beratnya hanya 40 miligram tetapi bernilai tinggi.

Sebagai perbandingan, purata berlian 0.2 karat berharga kira-kira AS$700 (kira-kira RM3,084).

Tiada objek yang boleh dibandingkan dengan setem ini, dari segi nilai berbanding beratnya.

Ia mungkin setem pos paling terkenal dan amat diidamkan kerana keunikannya.

Walaupun kebanyakan setem yang boleh dikumpulkan mempunyai beberapa salinan dalam edaran, setem khusus ini adalah satu-satunya spesimen seumpamanya.

Menariknya, The British Guiana One-Cent Black on Magenta bukanlah setem sebenar.

Pada 1856, sebuah pejabat berita tempatan di Guiana British mencetak beberapa keping kertas yang dihiasi dengan imej kapal bertiang tiga sebagai setem gantian.

Setem gantian itu dikeluarkan dari edaran hanya dalam beberapa minggu, selepas kumpulan baharu setem sebenar dibawa masuk ke pasaran.

Tetapi 17 tahun kemudian iaitu pada tahun 1873, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menemui setem itu dan menjualnya kepada seorang pengumpul setem tempatan.

Kini, ia berusia 150 tahun dan sekeping kecil kertas magenta (ungu kemerahan) itu menjadi objek paling berharga di dunia mengikut berat.

Setem itu pernah berada di tangan sembilan pemilik sehingga ia dibeli oleh sebuah syarikat bernama Stanley Gibbons, pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:33 PM