SETEM itu, berharga AS$2.90 (kira-kira RM14). FOTO UPU_UN/X
SETEM itu, berharga AS$2.90 (kira-kira RM14). FOTO UPU_UN/X
AFP

Paris: Pejabat Pos Perancis melancarkan setem wangi bagi meraikan baguette (sejenis roti Perancis) yang terkenal di dunia, dan pernah disifatkan oleh Presiden Emmanuel Macron sebagai 250 gram sihir dan kesempurnaan, pada 17 Mei lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh perkhidmatan pos Perancis, La Poste, sempena Hari Saint-Honore.

"Baguette, roti kehidupan seharian kita, simbol gastronomi kita, permata budaya kita", kata La Poste di laman webnya.

Setem itu, yang berharga AS$2.90 (kira-kira RM14) menggambarkan baguette yang dihiasi dengan reben biru-putih-merah. Ia mempunyai cetakan sebanyak 594,000 naskhah.

Menurut kedai Paris Le Carre d'encre, yang menjualnya, setem itu mempunyai bau bakeri.

Dakwat yang digunakan pada setem mengandungi mikrokapsul yang memberikan wangian.

"Bau ini terkandung dalam kapsul. Kami membelinya daripada pengeluar lain.

"Dan kesukaran bagi kami adalah untuk menyapu dakwat ini tanpa memecahkan kapsul, supaya bau kemudiannya dapat dilepaskan oleh pelanggan yang menggosok pada setem," kata Damien Lavaud, pencetak di Philaposte, dipetik sebagai berkata oleh France Bleu.

Baguette Perancis, salah satu simbol kekal negara itu diberi status warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 1:06 PM