Antara setem baharu yang dilancarkan menampilkan imej Ju-ae, anak perempuan Jong-un. - FOTO Agensi/Yonhap
Antara setem baharu yang dilancarkan menampilkan imej Ju-ae, anak perempuan Jong-un. - FOTO Agensi/Yonhap
BERNAMA

Seoul: Korea Utara pada Selasa melancarkan reka bentuk setem baharu yang buat julung kalinya menampilkan Ju-ae anak perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, lapor Yonhap.

Reka bentuk setem yang dimuat naik di laman sesawang Stamp Corp Korea Utara itu menunjukkan gambar Kim Jong-un dan anak perempuannya menghadiri ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-17 pada November tahun lepas.

Ia merupakan kali pertama Korea Utara mengeluarkan reka bentuk setem yang memaparkan Ju-ae, anak kedua Kim Jong-un, sejak wajahnya didedahkan kepada umum tahun lepas.

Daripada lapan setem, lima rekaan mengetengahkan penampilan Ju-ae, termasuk ketika beliau berjalan berpegangan tangan dengan bapanya di hadapan pelancar mudah alih peluru berpandu serta semasa bergambar dengan anggota tentera.

Setem itu akan dikeluarkan pada Jumaat, menurut laman sesawang itu.

Ju-ae dipercayai berusia sekitar 10 tahun menghadiri perarakan tentera minggu lalu sempena ulang tahun ke-75 penubuhan tentera Korea Utara yang mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin bakal menjadi pengganti Kim.

Pemerhati berkata masih terlalu awal untuk menimpulkan bahawa Ju-ae akan dipilih sebagai pengganti, namun Korea Utara nampaknya menunjukkan kesahihannya sebagai keturunan "Paektu" dinasti Kim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 6:11 PM