FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Rom: Hati daripada seorang wanita berusia 100 tahun berjaya dipindahkan kepada pesakit lain di Itali, kali pertama prosedur seperti itu pernah dilakukan ke atas penderma yang berusia lanjut, kata Kementerian Kesihatan negara itu pada Jumaat, lapor Xinhua.

Prosedur itu dijalankan di Hospital San Giovanni di Dio di Florence minggu lepas dan hanya diumumkan pada Jumaat.

Penderma itu yang meninggal dunia sejurus sebelum prosedur dijalankan, hanya kurang dua bulan daripada hari lahirnya yang ke-101.

Hatinya diberikan kepada seseorang dalam senarai menunggu di Hospital Universiti Pisa.

Keseluruhan prosedur yang bermula dengan kematian penderma sehingga berakhir pembedahan ke atas pesakit, mengambil masa kurang dari 24 jam, kata pegawai.

Sebelum ini, rekod penderma organ tertua membabitkan lima kes berbeza, berusia 97 tahun termasuk rekod sebelumnya 97 tahun tujuh bulan yang dijalankan di Itali tahun lalu.

Kedua-dua mereka yang terbabit dalam prosedur itu tidak dikenal pasti berdasarkan undang-undang privasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 11:40 AM