DR Habibah  dan  Dr Ahmad Rafee  pada sidang media di Kementerian Pendidikan.
DR Habibah dan Dr Ahmad Rafee pada sidang media di Kementerian Pendidikan.
Siti A’isyah Sukaimi

Pelbagai langkah dan penambahbaikan diperkenalkan Kementerian Pendidikan dalam memastikan tahap serta kualiti pendidikan negara terus dipertingkatkan, sekali gus selari dengan peredaran masa dan kehendak pada ketika ini.

Justeru, Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Dr Habibah Abdul Rahim menjelaskan penandaarasan di peringkat antarabangsa turut dilakukan melalui penilaian terhadap tahap pengetahuan dan kemahiran murid serta amalan dan kompetensi guru di dalam bilik darjah.

Menurutnya, setiap negara mempunyai ciri keunikan serta konteks tersendiri dan sewajarnya akan memahami implikasi dan keadaan yang sedang dihadapi dalam melaksanakan sistem pendidikan masing-masing.

“Oleh itu, negara memerlukan data mengenai tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar serta amalan dan kompetensi guru di bilik darjah dikutip secara berterusan dan berkala serta mempunyai nilai kebolehpercayaan tinggi bagi sesebuah negara itu merancang penambahbaikan atau perubahan dalam meningkatkan kualiti sistem penyampaian pendidikan negara.

“Penyertaan semakin meningkat oleh negara seluruh dunia dalam penandaarasan peringkat antarabangsa membuktikan data diperoleh melalui pentaksiran serta kajian dilaksanakan adalah penting dan bermakna bagi sesebuah negara itu menambah baik atau mengubah corak sistem pendidikan negara supaya setanding atau boleh menyaingi negara lain,”katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak terkecuali melaksanakan transformasi pendidikan negara susulan mengambil bahagian dalam pentaksiran dan kajian peringkat antarabangsa seperti Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

Katanya, dapatan daripada pentaksiran dan kajian itu mencetus perubahan komprehensif dan dinamik dalam sistem pendidikan negara yang diterjemah melalui dokumen perancangan pendidikan jangka panjang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menjelaskan mengenai TIMSS, Dr Habibah berkata, ia adalah kajian perbandingan antarabangsa dijalankan Kesatuan Penilaian Pencapaian Pendidikan Antarabangsa (IEA) pada setiap empat tahun.

Katanya, penyertaan Malaysia hanya dalam TIMSS Gred 8 yang menilai prestasi pelajar tingkatan dua dalam mata pelajaran Sains dan Matematik serta mengenal pasti faktor mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran.

“TIMSS memberi tumpuan kepada kurikulum sebagai faktor utama yang dapat menerangkan pencapaian pelajar daripada tiga perspektif iaitu hasrat (intended), pelaksanaan (implemented) dan pencapaian (attained).

“Secara khususnya, model ini berkisar kepada apa yang sepatutnya dipelajari menerusi kurikulum Matematik dan Sains serta kaedah pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah,”katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penilaian TIMSS dilakukan secara rawak bukan terhadap pelajar tingkatan dua, guru Matematik dan Sains serta pentadbir sekolah merangkumi lokasi tertentu, sekolah kerajaan dan swasta, jenis sekolah dan Gred Purata Sekolah (GPS).

Katanya, penyertaan Malaysia bermula 1999 dan seterusnya pada 2003, 2007, 2011 dan terkini 2015 dan penilaian pada tahun lalu itu akan diumumkan pada 29 November ini, sekali gus sebagai titik penentu keberkesanan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Mengenai PISA, Dr Habibah berkata, ia kajian pentaksiran piawaian antarabangsa yang mengukur tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar berusia 15 ke atas dalam tiga domain utama iaitu literasi bacaan, literasi matematik dan literasi saintifik.

Menurutnya, berbeza dengan TIMSS, PISA bertujuan menilai keberkesanan dasar pendidikan sesebuah negara dan mempunyai keunikan tersendiri.

“PISA satu-satunya kajian pendidikan antarabangsa yang mengukur pengetahuan dan kemahiran pelajar berusia 15 tahun iaitu satu tahap usia di kebanyakan negara pada penghujung tempoh pendidikan wajib di sekolah.

“Kajian dilakukan tidak menumpukan kurikulum tertentu, tetapi merentasi sempadan mata pelajaran berdasarkan kompetensi umum dan penaakulan pelajar terhadap kurikulum dipelajari di sekolah,”katanya.

Dr Habibah turut menjelaskan Malaysia mula mengambil bahagian dalam PISA pada 2010 dan 2012 manakala terbaharu pada 2015 dengan hasil kajian bakal diumumkan pada 6 Disember ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pendidikan dan Penilaian) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, TIMSS dan PISA adalah berbeza dengan pentaksiran peperiksaan di dalam negara kerana sampel dipilih dalam kalangan pelajar dibuat secara rawak oleh pihak penganjur.

“Apabila diumumkan keputusan bagi TIMSS dan PISA nanti, sampel yang dipilih ini adalah mewakili pencapaian negara secara keseluruhan.

“Keputusan bagi TIMSS dan PISA yang diumumkan itu bukan tertumpu kepada sekolah, individu atau negeri terbaik malah, jumlah sampel yang dipilih pihak penganjur berdasarkan populasi di negara ini,”katanya.

Katanya, pada tahun lalu, seramai 9,726 dari 207 sekolah dipilih untuk penilaian TIMSS manakala seramai 9,660 pelajar dari 230 sekolah untuk PISA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 8:56 AM