KOMPLEKS mahkamah The Hague di Belanda. FOTO AFP
KOMPLEKS mahkamah The Hague di Belanda. FOTO AFP
Reuters

The Hague: Waris kumpulan Sulu memfailkan permohonan di mahkamah Belanda untuk merampas aset milik Malaysia di negara itu, kata peguam mewakili mereka.

Ia dilakukan menerusi permohonan timbang tara bernilai AS$15 bilion (RM69.5 bilion) yang dianugerahkan kepada mereka terhadap kerajaan Malaysia.

Petisyen di Mahkamah Rayuan The Hague mencetuskan kembali pertikaian yang sudah lama berlarutan mengenai perjanjian tanah era penjajah, dan mengancam aset global dimiliki kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, Putrajaya, yang tidak mengiktiraf tuntutan waris kumpulan Sulu, tidak memberikan kenyataan balas mengenai petisyen berkenaan.

Sebuah Mahkamah Timbang Tara Perancis pada Februari lalu mengarahkan Malaysia membayar sejumlah AS$15 bilion (RM69.5 bilion) kepada waris kumpulan Sulu, menjadikan ia anugerah timbang tara terbesar pernah direkodkan.

Malaysia memperoleh penangguhan keputusan itu sementara menunggu rayuan, tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis mengikut perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai timbang tara antarabangsa.

Waris kumpulan Sulu yang pernah menguasai wilayah merangkumi gugusan kepulauan dilitupi hutan hujan di selatan Filipina dan sebahagian kepulauan Borneo, meminta mahkamah Belanda mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara itu.

Mengikut salinan petisyen mahkamah yang dikongsikan peguam mereka, waris kumpulan Sulu hendak mengambil tindakan terhadap aset Malaysia yang berada di Belanda.

Reuters tidak dapat mengesahkan segera mengenai permohonan yang difailkan itu dengan pihak berkuasa mahkamah Belanda.

"Pemfailan di Belanda tidak lama lagi akan disusuli tindakan penguatkuasan lain, merangkumi pelbagai jenis, pelbagai bidang kuasa," kata peguam Paul Cohen iaitu peguam bersama utama waris kumpulan Sulu dari firma guaman Britain.

Katanya, ini mungkin tidak termasuk kaitan langsung aset Malaysia tertentu di Belanda dan tempat lain.

Petisyen berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan perincian tuntutan aset.

Namun, terdapat beberapa syarikat terbesar Malaysia memiliki operasi di Belanda termasuk firma minyak negara, Petronas dan pengeluar minyak sawit, Sime Darby Plantations.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:23 PM