AZALINA (gambar fail). FOTO Bernama
AZALINA (gambar fail). FOTO Bernama
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara dibuat secara tegas berdasarkan tiga asas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, asas kepada keputusan mahkamah itu adalah tiada Anugerah Akhir yang boleh diberikan secara sah disebabkan pembatalan pelantikan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara oleh mahkamah Sepanyol yang sebelum itu melantiknya, yang seterusnya membatalkan semua tindakan prosedur oleh Stampa.

Justeru, tiada anugerah timbang tara yang wujud, yang boleh diiktiraf dan dikuatkuasakan, dan tribunal timbang tara yang lebih tidak wajar ditubuhkan sejak pelantikan Stampa dibatalkan, yang membawa kepada keputusan menolak permohonan pihak yang menuntut oleh mahkamah.

"Asas kedua adalah tiada perjanjian timbang tara yang sah wujud, justeru tiada prosedur timbang tara boleh berlaku secara sah untuk dimulakan.

"Ia tidak boleh berlaku, yang mana pihak yang berhasrat untuk menyelesaikan pertikaian melalui timbang tara, malah jika mereka melakukannya, klausa yang didakwa dirujuk oleh pihak yang menuntut dalam apa jua keadaan adalah tidak berfungsi dan tidak boleh dipercayai.

"Selain itu, asas ketiga adalah pengekalan penguatkuasaan luar biasa bagi Anugerah Akhir yang dikatakan di Paris, adalah alasan seterusnya untuk penolakan itu, yang menyebabkan anugerah palsu berkenaan tidak mampu memperoleh pengiktirafan dan penguatkuasaan di Belanda," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

Individu yang mendakwa waris Sulu dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara di Paris, selepas mereka bertindak menuntut pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Susulan keputusan itu, kumpulan Sulu dilaporkan membuat beberapa tindakan, termasuk cuba merampas aset Petronas di Luxembourg, aset di Belanda dan juga menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis, termasuk sebahagian daripada kedutaannya.

Azalina berkata, keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara palsu tidak sepatutnya berlaku, yang mana ia tidak sah daripada awal dan Anugerah Akhir yang dikatakan adalah batal serta tidak sah.

Justeru, pihak yang menuntut tidak boleh bergantung kepada Anugerah Akhir yang dikatakan diterima itu untuk percubaan merampas aset Malaysia di Belanda dan penghakiman penting semalam kemungkinan akan menjadikan sebarang percubaan tidak sah oleh penuntut sia-sia serta kepada pembiaya mereka untuk menguatkuasakannya dalam bidang kuasa lain.

"Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague menandakan pencapaian Malaysia dalam usahanya mencabar undang-undang bagi menghalang penguatkuasaan anugerah yang dikatakan itu di peringkat global, iaitu ancaman kepada keseluruhan sistem timbang tara antarabangsa.

"Pada masa sama, kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah yang perlu untuk mendapatkan pembayaran kos yang diperintahkan terhadap pihak yang menuntut, susulan keputusan Mahkamah Rayuan di Paris pada 6 Jun 2023, yang menyokong tindakan Malaysia mencabar 'Anugerah Awal' oleh Stampa sebelum ini, mengenai bidang kuasa," katanya.

Azalina menegaskan, kerajaan akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi dan dipertahankan sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 10:25 AM