FAIL menunjukkan fasiliti penerimaan dan pengedaran gas asli di Lubmin timur laut Jerman berhampiran sempadan dengan Poland. FOTO AFP
FAIL menunjukkan fasiliti penerimaan dan pengedaran gas asli di Lubmin timur laut Jerman berhampiran sempadan dengan Poland. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia menghentikan penghantaran gas ke Jerman melalui saluran paip utama dalam tempoh yang tidak ditentukan.

Ia menemui masalah dalam peralatan utama dan itu satu perkembangan yang akan memburukkan lagi krisis tenaga Eropah.

Gergasi gas Rusia Gazprom berkata, saluran paip Nord Stream yang akan dibuka semula pada hujung minggu akan terus ditutup sehingga turbin dibaiki.

Dalam satu kenyataan, Gazprom menyatakan mereka menemui kebocoran minyak di dalam turbin ketika operasi penyelenggaraan selama tiga hari.

Gazprom menambah, sehingga ia dibaiki, pengangkutan gas melalui Nord Stream digantung sepenuhnya.

Penyambungan semula penghantaran melalui saluran paip berhampiran St Petersburg ke Jerman di dasar Laut Baltik, dijadual disambung semula pada Sabtu.

Gazprom berkata, pihaknya sudah menemui masalah semasa menjalankan penyelenggaraan dengan wakil Siemens, yang mengeluarkan turbin di stesen pemampat yang menolak gas melalui saluran paip.

Menerusi Telegram rasminya, ia menerbitkan gambar kabel yang diliputi cecair coklat.

Pada awal hari itu, Kremlin memberi amaran bahawa operasi saluran paip Nord Stream, salah satu laluan bekalan utama Gazprom berisiko kerana kekurangan alat ganti.

"Tiada rizab teknikal, hanya satu turbin berfungsi," kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada pemberita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 10:23 AM