ANNA  Tymchenko selamat melahirkan bayinya ketika Ukraine masih bergolak dengan perang. FOTO Agensi
ANNA Tymchenko selamat melahirkan bayinya ketika Ukraine masih bergolak dengan perang. FOTO Agensi
Agensi

Kyiv: Seorang wanita di Ukraine selamat melahirkan cahaya mata sulung biarpun dalam ketakutan kerana negaranya masih bergolak dengan perang hingga pangsapurinya turut bergegar kesan serangan itu.

BBC News melaporkan, ketika melahirkan cahaya mata 7 Mac lalu, Anna Tymchenko, 21 menghubungi jirannya untuk mendapatkan bantuan.

Jirannya bersetuju untuk datang namun tiada seorang pun daripada mereka mempunyai pengalaman melahirkan bayi.

"Saya tidak pernah membayangkan saya akan bersalin dalam keadaan sebegitu.

"Ia adalah nyata, anak pertama dan saya tidak tahu apa-apa," katanya.

Viktoria Zabrodskaya, jiran Anna yang berusia 49 tahun, memberitahu BBC mereka bimbang jika sesuatu berlaku kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Dalam keadaan terdesak, jiran Anna cuba menghubungi kakitangan perubatan namun isyarat telefon lemah.

Selepas beberapa kali mencuba, mereka akhirnya dapat menghubungi pakar sakit puan di Bucha selepas mendapat isyarat dari balkoni.

Difahamkan, Anna dan suaminya terperangkap tanpa bekalan elektrik, air atau doktor.

Mereka yang menetap di Bucha, sebuah pekan kecil terletak 30 kilometer (km) dari di sini diserang tanpa henti sejak awal peperangan.

Anna bersama suami dan abangnya, sebelum ini berlindung di ruang bawah tanah dekat blok pangsapuri mereka.

Bagaimanapun, ruang bawah tanah itu menjadi gelap dan sangat sejuk sejak bekalan elektrik terputus dan pemanasan berhenti berfungsi.

Suami Anna, Volodymyr berbelah bagi sama ada terus menetap di Bucha atau cuba melarikan diri.

Mereka ada membuat cubaan melarikan diri dengan kereta namun terpaksa berpatah balik apabila mendengar sekumpulan kenderaan tentera Rusia sedang menuju ke arah mereka.

"Kami kemudian memutuskan untuk tinggal di pangsapuri.

"Saya lebih suka bersalin di rumah dan bukannya di ruang bawah tanah yang berdebu. Saya mengalami kesukaran bernafas, paru-paru saya sakit," kata Anna

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:46 PM