LORD’S Court di Peckham. FOTO MyLondon/BPM Media
LORD’S Court di Peckham. FOTO MyLondon/BPM Media
Agensi

London: Misteri bau busuk dan kemunculan ulat yang dialami beberapa penghuni di sebuah pangsapuri akhirnya terungkai apabila menemukan seorang jiran mereka sudah meninggal dunia lebih dua tahun.

Sheila Seleoane, 58, meninggal dunia pada Ogos 2019 namun mayat rangkanya hanya ditemukan pada Februari 2022.

Tubuhnya mereput sehingga tidak dapat ditentukan punca kematiannya.

Chantel yang tinggal di bawah unit rumah Sheila berkata, dia tidak menyedari kematian jirannya itu sehingga ulat mayat muncul di pangsapurinya di Lord's Court di Peckham, selatan London.

"Ulat itu ada di merata-rata tempat termasuk bilik tidur, ruang tamu dan bilik mandi serta ditemukan pada perabot saya.

Dia dan jiran lain mengadu masalah itu termasuk bau busuk kepada pemilik pangsapuri, Peabody Housing beberapa kali, namun aduan itu tidak diendahkan.

Seorang jiran, Lyesha yang tinggal di tingkat sama rumah Sheila memberitahu BBC, mereka sudah membuat banyak aduan terutama mengenai bau busuk, namun pihak pengurusan Peabody Housing tidak datang untuk melakukan tinjauan.

Seorang lagi jiran menyimpan rekod bertulis apabila mereka mula-mula menghubungi pemilik pangsapuri untuk mengadu iaitu pada 10 Oktober 2019, lebih dua tahun sebelum mayat Sheila ditemukan.

Donatus Okeke berkata, keluarganya cuba meletakkan tuala dan cadar di bawah pintu untuk mengelakkan bau busuk yang pelik.

"Kami tidak dapat tidur pun di flat. Anda tidak boleh makan pun kerana ia adalah bau yang sangat busuk," katanya.

Sementara itu, jurucakap Peabody Housing berkata, pihaknya mengetahui Sheila yang tinggal lebih dua tahun di pangsapuri itu meninggal dunia, Februari tahun lalu, dan menghantar surat permohonan maaf kepada semua penghuni.

"Kami faham betapa dahsyatnya keadaan ini untuk penduduk Lords Court.

"Kami memohon maaf dan berusaha keras sejak itu untuk mencuba dan membaiki hubungan dengan penduduk mayat Sheila ditemui.

"Kami juga terus mencuba dan mencari rumah baharu untuk penduduk yang ingin berpindah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 1:48 PM