PELARIAN dari Mariupol di sempadan Ukraine - Rusia, di wilayah Rostov, Rusia. FOTO EPA s
PELARIAN dari Mariupol di sempadan Ukraine - Rusia, di wilayah Rostov, Rusia. FOTO EPA s
Reuters

Kyiv: Rusia mencadangkan penubuhan laluan kemanusiaan bagi membolehkan orang awam meninggalkan lima bandar Ukraine termasuk ibu kota Kyiv mulai 9 pagi waktu tempatan pada Selasa, sementara menunggu persetujuan Ukraine, lapor agensi berita Rusia.

Tetapi kebanyakannya akan melalui Rusia atau Belarus, sesuatu yang ditolak oleh pihak berkuasa Ukraine pada sebelum ini,

Orang awam yang meninggalkan bandar Kyiv, Chernigov dan Kharkiv akan ke Rusia, sebahagiannya melalui Belarus, lapor agensi berita Interfax, memetik kenyataan jawatankuasa Rusia yang bertanggungjawab dengan penyelarasan kemanusiaan di Ukraine.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy menolak cadangan awal untuk memindahkan warga Ukraine ke kawasan yang disifatkannya sebagai 'wilayah yang diduduki' di Rusia dan Belarus.

Orang ramai yang meninggalkan bandar Sumy dan Mariupol, bagaimanapun, akan diberi pilihan laluan ke Rusia atau ke Poltava dan Zaporizhia di Ukraine, Interfax memetik kenyataan itu sebagai berkata.

Ukraine diberi masa sehingga 3 pagi waktu Moscow untuk bersetuju dengan syarat berkenaan.

Duta Ukraine ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sergiy Kyslytsya memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB sebelum ini bahawa Rusia "mengganggu ketetapan" bagi laluan kemanusiaan pada Selasa dengan menegaskan semua laluan akan melalui Rusia atau Belarus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 9:39 AM