FOTO tular dipercayai ambulans membawa askar Rusia yang cedera dan maut dilihat di bandar Homel.  FOTO Agensi
FOTO tular dipercayai ambulans membawa askar Rusia yang cedera dan maut dilihat di bandar Homel. FOTO Agensi
Agensi

Kyiv: Mayat tentera Rusia yang terbunuh di Ukraine dilaporkan dipindahkan ke Belarus dengan kereta api dan pesawat pada waktu malam untuk mengelak daripada menarik perhatian.

Rakaman yang diperoleh Radio Free Europe (RFE) menunjukkan ambulans tentera memandu melalui bandar di Homel di Belarus, pada awal Mac, lapor Metro UK.

Ia dikatakan dipenuhi dengan askar Rusia yang cedera dan mati, menurut penduduk dan pegawai perubatan di kawasan sempadan.

RFE memetik seorang pegawai perubatan yang berkata, lebih daripada 2,500 mayat tentera dihantar dari Homel ke Rusia dengan kereta api atau kapal terbang, setakat 13 Mac lalu.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko menyokong perang dan membenarkan penempatan unit tentera utama Rusia di negara itu sebagai peluang untuk masuk ke Ukraine.

Penduduk di Homel memberitahu RFE bahawa askar Rusia yang cedera dibawa ke tiga kemudahan perubatan berasingan di bandar itu, dan pesakit tempatan dikeluarkan awal bagi menempatkan mereka.

"Terdapat ramai orang Rusia yang cedera di sana ia begitu teruk. Cacat teruk. Mustahil untuk mendengar rintihan mereka di seluruh hospital,'' kata seorang penduduk yang dirawat di hospital Homel.

Seorang lagi doktor berkata, penduduk semakin bimbang dengan kemungkinan terdapat kekurangan ubat harian untuk mereka.

Terdapat laporan lain yang tidak dapat disahkan mengenai bilik mayat dan hospital yang dipenuhi dengan askar Rusia yang cedera atau mati di kawasan sempadan.

Penduduk tempatan di Mazyr, Belarus, kira-kira 100 kilometer barat laut Chernobyl, Ukraine, menyifatkan bilik mayat 'melimpah' dengan tentera Putin.

''Penumpang di stesen kereta api Mazyr terkejut dengan jumlah mayat yang dimuatkan di dalam kereta api. Selepas orang ramai mula merakam video, tentera menangkap mereka dan mengarahkan mereka memadamkannya.

"Ia berlaku selepas seorang pekerja hak asasi manusia di sana menyifatkan kemasukan hospital meningkat membabitkan dalam kalangan askar Rusia yang cacat.

''Terdapat banyak kematian. Semua ini kebanyakannya adalah lelaki muda yang dilahirkan pada 1998 hingga 2002," kata mereka kepada The Telegraph, minggu lalu.

Penduduk bandar sempadan iaitu Naroulya mendakwa bahawa hospital medan Rusia didirikan di situ.

Askar yang cedera diterbangkan dari Ukraine dan dirawat di bandar itu, sebelum dipindahkan ke Homel dan kemudian dihantar pulang ke Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:30 AM