Warga Ukraine di Turki mengadakan protes di hadapan Konsulat Rusia di Istanbul. - FOTO Reuters
Warga Ukraine di Turki mengadakan protes di hadapan Konsulat Rusia di Istanbul. - FOTO Reuters
AFP

Paris: Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin cuba memusnahkan kenegaraan Ukraine.

Ia juga memberi amaran keselamatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky terus terancam.

"Ini adalah perang secara menyeluruh. Putin sudah putuskan untuk mengeluarkan Ukraine daripada peta dunia, isu Donbas hanya alasan," katanya merujuk kepada kawasan timur Ukraine yang sebahagiannya dikawal pemisah pro-Russia.

Bercakap kepada kepada radio France Inter, Le Drian mendedahkan bahawa apa yang Putin mahukan ialah Ukraine menyerah dan dia akan meneruskan serangannya sehingga akhir.

"Keselamatan Presiden Zelensky adalah elemen penting dalam semua yang berlaku, kami sedia membantu jika perlu," katanya.

Bagaimanapun, Le Drian enggan menyatakan sama ada bantuan sedemikian boleh dilanjutkan kepada penyingkiran Putin dari Ukraine.

Pagi tadi, Zelensky berkata beliau dan keluarga akan terus berada di Ukraine, walaupun Rusia menyasarkan dirinya sebagai 'sasaran nombor satu'.

Le Drian berkata, Perancis turut 'bimbang' kemungkinan serangan tentera Rusia terhadap Moldova dan Georgia, dua lagi negara bekas Soviet.

Beliau turut mengecam 'campur tangan' Rusia di negara lain, termasuk desakan berulang kali disuarakan Putin mengenai dakwaan rungutan sejarah negaranya sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 7:42 PM