GAMBAR ihsan Agensi Sputnik menunjukkan Putin ketika menghadiri mesyuarat bersama pemimpin lantikan Rakyat Donetsk, Ukraine yang tidak diiktiraf di Moscow pada Khamis. FOTO Mikhail Klimentyev/Pool/AFP
GAMBAR ihsan Agensi Sputnik menunjukkan Putin ketika menghadiri mesyuarat bersama pemimpin lantikan Rakyat Donetsk, Ukraine yang tidak diiktiraf di Moscow pada Khamis. FOTO Mikhail Klimentyev/Pool/AFP
Bernama-UPI

Washington: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang maut pada Rabu apabila jet peribadi yang membawa ketua kumpulan tentera upahan Wagner Yevgeny Prigozhin terhempas di wilayah Tver Rusia, dilaporkan membunuh 10 orang.

"Mengenai nahas pesawat, pertama sekali, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa. Ia sentiasa merupakan satu tragedi," United Press International (UPI) memetik Putin sebagai berkata semasa pertemuan dengan pemimpin Republik Rakyat Donetsk yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa, Denis Pushilin.

Prigozhin bangkit daripada seorang penjenayah kecil yang berkhidmat selama 12 tahun kerana rompakan bersenjata di Kesatuan Soviet kepada seorang penjual hot dog yang menjana kekayaannya dalam perniagaan restoran dan katering sepanjang tempoh kekacauan berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet.

Ketika pemerintahan Putin, Prigozhin menjadi kontraktor utama yang menyediakan perkhidmatan makanan kepada tentera Rusia.

Pada 2014, ketika pencerobohan pertama Rusia di Timur Ukraine, Prigozhin menubuhkan kumpulan Wagner sebagai pasukan bantuan persendirian untuk menyokong pemisah pro-Rusia.

Putin menyifatkan Prigozhin sebagai seorang tokoh yang rumit dan membayangkan bahawa hubungan kerja antara Rusia dan pemimpin tentera upahan itu saling menguntungkan.

"Sejak permulaan tahun 90-an, beliau adalah individu yang mempunyai nasib yang sukar," kata Putin.

Prigozhin maut dua bulan selepas mengetuai pemberontakan yang gagal terhadap Kementerian Pertahanan Rusia, mengambil alih bandar Rostov on Don, yang juga markas kepada ibu pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia.

Ketika pemberontakan, pasukan Wagner menuju ke Moscow, mendorong pihak berkuasa tempatan untuk membina halangan di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 3:14 PM