ADA pengguna pengangkutan awam di London dilihat masih memakai pelitup muka meskipun pihak berkuasa sudah menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka di England. FOTO AFP
ADA pengguna pengangkutan awam di London dilihat masih memakai pelitup muka meskipun pihak berkuasa sudah menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka di England. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Subvarian daripada strain koronavirus Omicron didapati lebih mudah berjangkit daripada versi asal, menurut kajian Denmark yang diterbitkan semalam.

Subvarian BA.2 juga dipanggil 'stealth Omicron' dikesan awal tahun ini dan menggantikan varian Omicron pertama, dikenali sebagai BA.1, sebagai strain dominan di Denmark.

Seseorang yang dijangkiti BA.2 mempunyai 39 peratus peluang untuk menularkan virus itu kepada orang lain dalam isi rumah mereka dalam masa seminggu, berbanding 29 peratus risiko dengan BA.1, kata pihak berkuasa kesihatan Institut Statens Serum (SSI) Denmark dalam satu kenyataan.

Kajian penyelidik SSI dan universiti Denmark membabitkan 18,000 orang dan dijalankan antara 20 Disember dan 18 Januari.

Doktor SSI Camilla Holten Moller berkata, BA.2 lebih berkemungkinan menjangkiti orang yang tidak divaksinasi berbanding BA.1.

Mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya, terutamanya mereka yang menerima dos penggalak lebih kecil kemungkinannya untuk mendapat jangkitan, tambahnya.

SSI sebelum ini berkata, BA.2 adalah satu setengah kali ganda lebih berjangkit daripada BA.1, menurut data awal.

Saintis masih memantau kebolehjangkitan subvarian dan keseriusan penyakit yang disebabkannya, tetapi data antarabangsa mencadangkan ia boleh merebak dengan cepat.

Denmark pada hari Selasa akan menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang menarik balik semua sekatan koronavirus walaupun terdapat rekod kes, memetik kadar vaksinnya yang tinggi dan tahap keseriusan Omicron yang lebih rendah.

Varian Omicron mula dikesan di Afrika Selatan pada November 2021 dan sejak itu menjadi strain dominan dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 10:07 AM