Gambar hiasan. FOTO AFP.
Gambar hiasan. FOTO AFP.
Agensi

Bangkok: Varian baharu Covid-19, Arcturus meragut mangsa pertamanya di Thailand dengan kematian direkod pada Rabu.

Saintis menganggap strain itu sebagai 1.2 kali lebih berjangkit daripada subvarian utama yang lain, turut menyaksikan lonjakan kes Covid-19 di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak mendedahkan pesakit maut itu sebagai lelaki warga emas.

Katanya, pesakit itu warga asing yang mempunyai masalah kesihatan.

"Kematiannya mungkin tidak secara langsung menggambarkan keterukan subvarian ini, sebaliknya kesannya terhadap risiko lain," katanya memberitahu stesen berita PBS Thailand yang dipetik Independent UK.

Dr Sirilak mendedahkan sekurang-kurangnya 27 kes Arcturus dikesan di seluruh Thailand.

Sementara itu, Prof Yong Poovorawan yang mengetuai Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn berkata, Arcturus mungkin akan menjadi subvarian dominan Thailand tidak lama lagi.

Katanya, pesakit yang dimasukkan ke hospital bagi 9 hingga 15 April lalu akibat subvarian itu meningkat dua setengah kali ganda, berbanding minggu sebelumnya.

Varian ini mula dikenal pasti pada Januari dan dipantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 22 Mac.

Ketua Teknikal WHO untuk Covid-19, Dr Maria Van Kerkhove berkata, Arcturus secara saintifik dipanggil subvarian Omicron XBB.1.16 dan sudah menular selama beberapa bulan.

Setakat ini, subvarian itu dikesan di 22 negara termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 12:57 PM