BANGKOK. FOTO AFP
BANGKOK. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Pusat Perubatan Genom Hospital Ramathibodi di Thailand mengesan kes terbaharu generasi ketiga Covid-19 yang dikatakan lebih cepat menular.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi Facebook hospital berkenaan yang memaklumkan virus itu sebagai BA.2.75.2 iaitu subvarian daripada varian Omicron.

Orang ramai juga dinasihatkan mengenai keperluan untuk bersedia menghadapi kemungkinan gelombang baharu jangkitan Omicron.

Pusat itu berkata, berdasarkan kajian Konsortium Genom Sars-CoV-2 India, BA.2.75.2 berkembang daripada BA.2.75 dan mula merebak di India, pada Mei.

Varian itu menunjukkan mutasi paling cepat berbanding varian Covid-19 lain di India, dan BA.2.75 dikatakan terus bermutasi dan salah satu mutasinya ialah BA.2.75.2.

Hospital Ramathibodi memetik pakar imunologi dari Universiti Peking sebagai berkata, varian BA.2.75.2 adalah ketegangan kepada antibodi dan boleh menjadi subvarian Omicron yang boleh menular cepat.

BA.2.75 ialah generasi kedua Covid-19 dan mempunyai 95 hingga 100 mutasi berbanding dengan strain asal dari Wuhan, China.

Penularan relatifnya adalah kira-kira 37 peratus berbanding dengan strain lain di India.

"Varian ini pertama kali dikesan di India dan merebak ke Chile, England, Singapura, Sepanyol, Jerman dan Thailand," kata Pusat Genom Perubatan.

BA.2.75.2 memiliki kadar penularan sebanyak 90 peratus berbanding BA.5, dan 148 peratus berbanding BA.4 yang menjadi subvarian dominan di seluruh dunia.

Pusat itu berkata, satu kes BA.2.75.2 dilaporkan dari Thailand ke pangkalan data Inisiatif Global untuk Perkongsian Data Influenza Unggas (Gisaid).

Ia mengesyorkan kaedah rawatan baharu harus dicipta khusus untuk strain virus itu.

Ini kerana vaksin, antivirus dan antibodi sintetik sedia ada mempunyai kesan yang berbeza untuk setiap strain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:19 AM