GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan varian Omicron sudah mula menggantikan Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan kajian dan survelan genomik berterusan yang dijalankan oleh Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) danInstitut Farmakogenomik Integratif, Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM).

Dr Noor Hisham berkata, ia turut dibantu Pusat Penyelidikan & Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya (TIDREC-UM), Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan dan Komuniti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HP-UPM), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia-Kuantan.

"Untuk makluman, varian membimbangkan (VOC) Omicron terbahagi kepada tiga 'sublineage' iaitu BA.1, BA.1.1, dan BA.2.

"Sehingga semalam, masih belum ada laporan mengenai kewujudan satu lagi sublineage iaitu BA.3 di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kebimbangan terhadap sublineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding dengan sublineage Omicron yang lain serta varian Delta.

"Di antara tiga sublineage varian Omicron yang menular, jumlah pelaporan sublineage BA.1.1 dan BA.2 dilihat semakin meningkat.

"Omicron sublineage BA.1.1 meningkat daripada 38.3 peratus pada Januari lalu kepada 48.7 peratus pada Februari, namun menurun kepada 40 peratus pada bulan ini.

"Bagi tempoh yang sama (1 Mac hingga 17 Mac), didapati varian Omicron BA.2 meningkat kepada 27.1 peratus berbanding pada Januari dan Februari di mana pelaporan untuk varian Omicron sublineage BA.2 hanyalah masing-masing 0.9 peratus dan 2.7 peratus," katanya.

Katanya, kenaikan mendadak sublineage BA.2 ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian.

"Situasi yang sama juga dilihat di beberapa negara seperti Denmark, India, dan Nepal yang melaporkan varian utama virus SAR-CoV2 yang menular di negara mereka adalah varian Omicron sublineage BA.2.

"KKM menjangkakan, besar kemungkinan varian Omicron sublineage BA.2 kelak akan menjadi varian yang dominan di Malaysia," katanya.

Menurutnya, penduduk Malaysia perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2 dan pada masa yang sama pihaknya juga perlu khuatir kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya

mengakibatkan jangkitan yang lebih serius terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima vaksin dos penggalak (booster).

"Meneutralkan Antibodi (NAb) adalah antibodi yang bertanggungjawab untuk mempertahankan sel daripada organisma yang menyebabkan penyakit iaitu terbentuk sama ada melalui vaksinasi atau tindakbalas tubuh terhadap jangkitan terdahulu.

"Dapatan kajian oleh Jingyou Yu et. al (2022) menyarankan dos panggalak adalah disyorkan untuk meningkatkan tahap NAb yang lebih tinggi dan konsisten terhadap BA.1 atau BA.2.

"Ia berfungsi untuk melindungi mereka yang dijangkiti sublineage varian Omicron daripada kesan yang serius serta mengelakkan kemasukan ke hospital atau ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, 65.7 peratus orang dewasa sudah menerima dos penggalak dan hanya 35.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun divaksin Covid-19.

"Pengambilan vaksin Covid-19 terutama dos penggalak kepada warga emas dan kanak- kanak ini amat penting bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk yang boleh membawa maut dan juga sebagai persediaan apabila negara memulakan fasa peralihan ke endemik pada 1 April ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 11:14 AM