Marina Lebedeva
Marina Lebedeva
Agensi

Moscow: Malang buat pempengaruh (influencer) ini apabila maut ketika menjalani pembedahan plastik bagi mengubah penampilan hidungnya.

Marina Lebedeva, 31, dipercayai meninggal dunia selepas alahan dengan bius yang digunakan untuk membedah hidungnya.

Laporan menyebut Marina mahu membetulkan bentuk hidung melalui prosedur rinoplasti dengan kos 4,000 Pound Sterling (RM23,098)

Pembedahan itu dilakukan di klinik Artibeaut, St Petersburg.

Kakitangan klinik menghubungi ambulans selepas mendapati wanita itu menghadapi masalah semasa prosedur dijalankan.

Suhu badan wanita itu meningkat mendadak selepas bertindak balas dengan bius.

Jika sabit kesalahan, pakar bedah boleh dipenjara hingga enam tahun akibat cuai.

"Doktor terkejut dan kejadian itu dikatakan berlaku satu dalam sejuta pembedahan," menurut satu laporan.

Sementara itu, pengarah klinik itu, Alexander Efremov berkata, pesakit itu sudah melepasi beberapa ujian sebelum pembedahan dikendalikan pakar bertauliah.

Katanya, dia percaya keadaan genetik menyebabkan kematian pesakit.

"Laporan perubatan forensik dilakukan, tetapi saya boleh katakan kami melakukan pembedahan berdasarkan semua piawaian ditetapkan.

"Jika ada pelanggaran, ini menjadi kes pertama," katanya dalam The Sun.

Jawatankuasa Penyiasat Rusia giat menjalankan siasatan bagi mencari punca kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:01 AM