MICHAEL Nugent. FOTO Agensi
MICHAEL Nugent. FOTO Agensi
AFP

London: Seorang lelaki Britain berusia 38 tahun dipenjarakan atas kesalahan keganasan selepas berkongsi buku panduan bahan letupan dan video ekstrem, termasuk individu yang didakwa meraikan pembunuhan beramai-ramai di masjid New Zealand.

Michael Nugent dari Surrey, selatan England menjadi 'admin' bagi kumpulan sembang sayap kanan di aplikasi Telegram, menggunakan pelbagai identiti berbeza untuk menyatakan kebenciannya terhadap etnik minoriti dan berkongsi "dokumen berkaitan pengganas dengan orang lain", menurut polis.

Seorang hakim di Mahkamah Crown Kingston di barat daya London menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah terhadap lelaki itu.

"Nugent secara bebas berkongsi pandangan ekstremis yang menjijikkan dengan orang lain dan menyebarkan manual yang memperincikan bagaimana menghasilkan senjata dan alat letupan," kata Komander Polis Metropolitan Richard Smith.

Lelaki itu juga berkongsi rakaman serangan di Christchurch pada ulang tahun pertama tragedi itu pada Mac tahun lalu dan menyiarkan manifesto pelaku serangan, Brenton Tarrant.

Nugent ditahan pada 19 Ogos tahun lalu dan pada mulanya didakwa dengan 12 kesalahan Akta Keganasan, bagaimanapun enam pertuduhan ditambah semula.

Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan penyebaran penerbitan pengganas dan 11 tuduhan memiliki dokumen yang mengandungi maklumat yang mungkin berguna bagi seseorang untuk melakukan tindakan keganasan.

Nugent mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan mendorong keganasan.

Namun, hakim memutuskan walaupun ada bukti yang cukup untuk pendakwaan, tiada kepentingan awam untuk meneruskan tuduhan berkenaan.

Dalam serangan 15 Mac 2019 disiarkan secara langsung di Facebook, Tarrant, pengganas kulit putih berasal dari Australia yang bersenjatakan senapang semiautomatik, menyasar penganut Islam yang menunaikan solat Jumaat di dua masjid Christchurch, mengorbankan 51 jemaah serta mencederakan puluhan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 10:10 AM