ANTARA karya dihasilkan Ezekiel (gambar kiri). FOTO agensi
ANTARA karya dihasilkan Ezekiel (gambar kiri). FOTO agensi
Agensi

London: Biarpun lumpuh seluruh badan, namun Sarah Ezekiel, mampu menghasilkan karya seni yang mengagumkan.

Lebih membanggakan, pelukis berpangkalan di London itu, menerima pengiktirafan antarabangsa kerana menghasilkan lakaran karya seakan-akan hidup.

Namun, untuk menghasilkan karya sebegitu indah dia perlu bergelut menggunakan gerakan mata berikutan tangannya tidak mampu digerakkan.

Ezekiel sebelum ini dilahirkan normal, namun disahkan menghidap penyakit neuron motor atau Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) pada tahun 2000.

Hari demi hari, kehidupan aktifnya berubah hingga dia tidak mampu bertutur dan bergerak hingga hari ini.

"Kehidupan saya suram dan saya rasa kesunyian. Tetapi teknologi membuatkan saya layak untuk hidup semula," katanya kepada CNN menggunakan bantuan teks prediktif.

Untuk membuat sesuatu lukisan, Ezekiel dibantu dengan sistem peranti penjejak mata yang menggunakan projektor, kamera dan algoritma untuk mengesan pergerakan pupil mata pengguna dan mengawal kursor pada skrin.

"Selama bertahun-tahun saya tidak mampu melukis tetapi mengagumkan teknologi ini membolehkan saya berkarya lagi.

"Apa yang penting, gaya lakaran saya tidak berubah. Prestasi mata saya bekerja sama seperti saya menggunakan tangan sebelum ini," katanya yang buat masa ini menjual hasil seninya menerusi platform dalam talian.

Katanya, dia berharap apabila pandemik Covid-19 berakhir, dia dapat meneruskan pameran seninya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 3:03 PM