Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MOU) MPAJ dan CelcomDigi Berhad di Pusat Konvensyen MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MOU) MPAJ dan CelcomDigi Berhad di Pusat Konvensyen MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cadangan mewartakan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tidak harus dipolitikkan sehingga mencetuskan isu perkauman.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pewartaan yang masih dalam peringkat cadangan itu tidak 'sihat' untuk dimainkan sebagai isu kerana tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat yang berbilang bangsa.

"Bergantung juga, kita tengok dan tidak semua (wartakan) tetapi kalau ada kampung berusia ratusan tahun sudah pasti kita akan wartakan macam mana kita wartakan Gombak-Hulu Langat Geopark sebahagian kawasan itu termasuk kawasan kampung Melayu.

"Kalau kita tengok, Gombak-Hulu Langat Geopark termasuk dalam jajaran Kampung Kuang, Kampung Kundang termasuk kawasan Selayang dan Batu Caves serta beberapa kawasan Kampung Kemensah semua itu digazetkan di bawah Unesco.

"Sudah dilakukan lama sebelum ini tetapi tidak dilihat sebagai satu manfaat sebab dalam fikiran mereka apa isu yang boleh 'spin' untuk kepentingan politik yang tidak membawa manfaat kepada keharmonian dan kestabilan kaum dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pusat Konvensyen MPAJ di Taman Melawati di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, Nga juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 2:41 PM