LUAN meraikan jaringannya untuk Corinthians. FOTO FAIL REUTERS
LUAN meraikan jaringannya untuk Corinthians. FOTO FAIL REUTERS
Reuters

Sao Paulo: Pemain tengah Corinthians, Luan diserang oleh beberapa penyokong di sini, semalam, umum kelab Brazil itu yang menyifatkan insiden itu sebagai tindakan agresif yang pengecut.

Media tempatan melaporkan, pemain berusia 30 tahun itu cedera selepas ditarik keluar dari motel oleh penyokong yang mendesaknya menamatkan kontrak dengan kelab itu.

Luan yang menyertai Corinthians sejak 2020 sudah membuat 80 penampilan termasuk menjaringkan 11 gol dan melakukan lima bantuan jaringan dengan kontraknya bakal tamat pada hujung musim ini.

"Corinthians menerima berita sedih dan mengejutkan mengenai Luan yang diserang oleh penyokong pada awal pagi Selasa," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Dalam satu lagi kes keganasan, Corinthians kesal dengan sikap tiada toleransi yang mendominasi bola sepak Brazil ketika ini. Tiada yang setimpal dengan tindakan agresif pengecut terhadap atlet."

Kelab itu menyatakan sokongan sepenuhnya kepada pemain berkenaan yang memuat naik gambar dengan kesan darah pada seluarnya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 9:26 AM