ARMENIA mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf negara Palestin. FOTO AFP
ARMENIA mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf negara Palestin. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Armenia pada Jumaat mengumumkan bahawa ia mengiktiraf Negara Palestin di tengah-tengah konflik Gaza yang berterusan, menyertai senarai negara menzahirkan sokongan rasmi kepada Palestin.

Kementerian Luar Armenia dalam satu kenyataan menekankan bahawa situasi kemanusiaan yang dahsyat di Gaza dan konflik ketenteraan yang berterusan adalah antara isu politik antarabangsa utama yang memerlukan penyelesaian segera.

"Berdasarkan perkara di atas dan mengesahkan semula komitmen kami terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip kesaksamaan, kedaulatan dan kewujudan bersama rakyat secara aman, Republik Armenia mengiktiraf Negara Palestin," menurut kenyataan itu.

Armenia dalam kenyataan itu berkata ia secara tegas menolak serangan ke atas infrastruktur awam, keganasan terhadap penduduk awam, dan menjadikan orang awam sebagai tawanan semasa konflik bersenjata, menyertai tuntutan masyarakat antarabangsa untuk pembebasan mereka tanpa syarat.

Republik itu juga telah menyertai resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa gencatan senjata segera di Gaza.

"Republik Armenia benar-benar komited untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat dan perdamaian yang berkekalan antara orang Yahudi dan Palestin," menurut kenyataan itu.

Di pelbagai platform antarabangsa, Armenia secara konsisten menyokong penyelesaian secara aman dan menyeluruh terhadap isu Palestin dan menyokong penyelesaian "dua negara" kepada konflik Israel-Palestin.

"Kami yakin bahawa ini adalah satu-satunya cara untuk memastikan kedua-dua rakyat Palestin dan Israel dapat memenuhi aspirasi sah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:34 PM