GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menyarankan kerajaan Malaysia menggesa negara Arab dan Islam menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel dan memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut sebuah negara merdeka.

Itu antara 10 resolusi menerusi Seminar Konflik Palestin Israel anjuran PUM hari ini berikutan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza.

PUM dalam kenyataannya juga mengambil ketetapan menggesa kerajaan memainkan peranan utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya dapat menggerakkan pertubuhan ini secara proaktif ke arah penyelesaian konflik berdarah di Palestin.

"PUM juga mendesak Israel supaya menghentikan serangan tidak bertamadun ke atas penduduk Gaza dan melakukan gencatan senjata dengan kadar segera supaya tindakan ke arah perdamaian dapat diambil," demikian menurut kenyataan itu hari ini.

PUM juga mencadangkan pihak keselamatan negara mengambil tindakan tegas dan berterusan ke atas ejen Mossad yang dikenal pasti merekrut sebilangan rakyat Malaysia kerana menggugat keselamatan negara.

Pada masa sama, PUM menawarkan diri untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan keperluan penyelesaian secara aman.

"Kita menyokong sepenuhnya fatwa hukum Syara' yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang mewajibkan campur tangan tentera dalam kalangan negara Islam khususnya sebagai tentera pendamai di Semenanjung Gaza, Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 10:42 PM