PUTERA Faisal Farhan Al Saud. FOTO fail AFP
PUTERA Faisal Farhan Al Saud. FOTO fail AFP
Reuters

Washington: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud memaklumkan pihaknya tidak boleh memulihkan hubungan dengan Israel, tanpa menyelesaikan isu Palestin.

Beliau berkata demikian kepada CNN dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad.

"Itu satu-satunya cara kita akan mendapat faedah.

"Jadi, ya, kerana kita memerlukan kestabilan dan hanya kestabilan yang akan datang melalui penyelesaian isu Palestin," kata Putera Faisal.

Kenyataan menteri luar itu adalah sebahagian daripada wawancara yang pada asalnya dirakam di luar Forum Ekonomi Dunia.

Forum itu diadakan di Davos, Switzerland, minggu lalu dan disiarkan pada Ahad di CNN.

Menurut Putera Faisal, meredakan konflik di Gaza dan kematian orang awam adalah fokus utama Arab Saudi.

"Apa yang kita lihat adalah Israel sedang menghancurkan Gaza dan penduduk awam Gaza.

"Ini sama sekali tidak perlu, tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dihentikan," katanya.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 25,000 rakyat Palestin sudah terbunuh, manakala, lebih 62,000 cedera dalam serangan Israel ke atas wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 12:17 PM