BULU Burung Huia itu dijual oleh Rumah Lelongan Webb. FOTO Rumah Lelongan Webb
BULU Burung Huia itu dijual oleh Rumah Lelongan Webb. FOTO Rumah Lelongan Webb
Agensi

Wellington: Sehelai bulu Burung Huia New Zealand yang kini sudah pupus, mencipta rekod dunia selepas dijual pada harga NZ$46,521.50 (kira-kira RM133,739.71) dalam satu lelongan, baru-baru ini.

BBC melaporkan bulu burung itu, pada mulanya dijangka mencecah harga jualan lelong sehingga AS$3,000 (kira-kira RM14,150.28), namun memecahkan rekod sebelumnya iaitu untuk bulu spesis yang sama sebanyak 450 peratus, kata Rumah Lelongan Webb.

Burung huia adalah suci kepada orang Māori. Bulu burung itu sering dipakai sebagai penutup kepala oleh ketua dan keluarga mereka selain turut menjadi barangan yang dihadiahkan atau diperdagangkan.

Penampakan terakhir burung huia yang disahkan adalah pada tahun 1907, tetapi penampakan yang tidak disahkan dilaporkan selama 20 hingga 30 tahun selepas itu, menurut Muzium New Zealand.

Huia ialah burung penyanyi kecil dari keluarga burung wattlebird di New Zealand dan terkenal dengan kebolehan melompat, dan memiliki bulu yang cantik berbeza dengan hujungnya berwarna putih.

Bulu burung yang dijual pada Isnin itu adalah "dalam keadaan yang indah", kata Ketua Seni Hiasan di Rumah Lelongan Webb, Leah Morris

"Ia masih mempunyai kilauan yang sangat jelas, dan tiada kerosakan serangga," katanya kepada BBC.

Dia menambah bahawa rumah lelongan itu membingkai item itu di sebalik kaca pelindung dan dengan kertas arkib, yang bermaksud ia akan mempunyai "hidup yang sangat panjang".

Bulu burung itu didaftarkan sebagai 'taonga asli' di bawah sistem untuk melindungi objek buatan Maori.

Hanya pengumpul yang mempunyai lesen dalam sistem dibenarkan membelinya, dan seseorang pengumpul itu tidak boleh meninggalkan negara tanpa kebenaran daripada Kementerian Kebudayaan dan Warisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:30 PM