FOTO fail menunjukkan keadaan selepas serangan Israel ke atas konsulat Tehran di Damsyik pada 2 April lalu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan keadaan selepas serangan Israel ke atas konsulat Tehran di Damsyik pada 2 April lalu. FOTO AFP
AFP

Beirut: Serangan Israel pada Jumaat menyasarkan kedudukan tentera Syria di selatan negara itu, kata kerajaan Syria dan pemantau perang, ketika media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Israel menyerang musuh ketatnya, Iran.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Syria berkata, "musuh Israel melakukan serangan menggunakan peluru berpandu... menyasarkan tapak pertahanan udara kami di wilayah selatan" dan menyebabkan kerosakan material.

Pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights berkata, Israel menyasarkan kedudukan radar tentera di wilayah selatan Daraa yang mengesan kemasukan pesawat Israel ke ruang udara Syria.

Rami Abdel Rahman, ketua pemantau perang itu yang berpangkalan di Britain berkata, serangan itu berlaku "pada masa tentera udara Israel terbang secara intensif di atas wilayah Daraa" tanpa pertahanan udara Syria mengambil sebarang tindakan.

Tentera Israel melakukan ratusan serangan di Syria sejak meletusnya perang saudara di negara jirannya di utara itu pada 2011, terutamanya menyasarkan kedudukan tentera dan pejuang yang disokong Iran.

Tetapi serangan itu semakin meningkat sejak perang Israel dengan kumpulan pejuang Palestin yang disokong Iran, Hamas, di Semenanjung Gaza bermula pada 7 Oktober.

Kementerian Luar Syria mengutuk "secara sekeras-kerasnya" "pencerobohan Israel dan serangan sebelum itu ke atas wilayahnya."

Syria menggesa "masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu... mengambil semua langkah pencegahan untuk menghentikan" serangan Israel, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita negara, Sana.

Rayan Maarouf dari media Suwayda24, sebelum ini memberitahu AFP, terdapat serangan ke atas kedudukan radar tentera Syria di wilayah Sweida, tanpa menyatakan asal usulnya.

Serangan terbaharu berlaku ketika letupan dilaporkan awal hari Jumaat di tengah Iran, dengan pegawai kanan AS melaporkan serangan Israel.

Agensi berita Iran, Fars, melaporkan tiga letupan berhampiran pangkalan tentera di wilayah Isfahan. Agensi berita rasmi Irna berkata "tiada kerosakan besar."

Pegawai Israel tidak membuat sebarang komen umum mengenai serangan yang dilaporkan dan pegawai Iran mengecilkan kepentingannya.

Israel memberi amaran ia akan menyerang balik selepas Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu terhadapnya semalaman pada 13 April, dalam serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini yang datang sebagai tindakan balas terhadap serangan maut - secara meluas dipersalahkan ke atas Israel - ke atas konsulat Tehran di Damsyik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 8:48 AM