PELURU berpandu Israel dan bedilan sistem pertahanan udara Syria memenuhi ruang udara Damsyik. - Agensi
PELURU berpandu Israel dan bedilan sistem pertahanan udara Syria memenuhi ruang udara Damsyik. - Agensi
Agensi

BEIRUT: Sistem pertahanan udara Syria menembak jatuh sekurang-kurangnya 30 peluru berpandu dan bom kawalan tepat ketika serangan Israel terhadap beberapa sasaran sekitar Damsyik semalam.

Reuters melaporkan, agensi berita Russia, Interfax, yang memetik pusat kawasan pertahanan negara itu melaporkan serangan Israel mensasarkan lapangan terbang di selatan Damsyik.

Al Jazeera melaporkan, kenyataan tentera Israel berkata: “Kami menyerang sasaran Quds Iran di wilayah Syria.

“Kami sudah memberi amaran kepada tentera Syria mengenai cubaan serangan terhadap tentera Israel atau wilayahnya.”

Pasukan Quds ialah Pengawal Revolusi Iran yang beroperasi di luar negara dan Iran ialah penyokong kuat kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad dengan membekalkan senjata, kewangan serta tentera dalam peperangan di Syria.

Menurut Pemantau Hak Asasi Syria berpangkalan di Britain serangan itu menyebabkan 11 terbunuh, termasuk dua tentera Syria, jumlah korban terbesar sejak Mei tahun lalu.

“Serangan Israel mensasar kedudukan tentera Iran dan Syria di selatan Damsyik menyebabkan 11 terbunuh,” kata Pengarah pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Sasaran, termasuk depoh senjata yang dikatakan milik Hizbullah di Lubnan dan kumpulan bersenjata Iran.

Serangan udara dan peluru berpandu Israel mengenai beberapa sasaran sekitar Damsyik, termasuk lapangan terbang serta lapangan terbang tentera di Thaala.

Russia, kuasa besar yang menyokong Syria, menyatakan serangan Israel itu menyebabkan empat tentera Syria terbunuh dan enam lagi cedera.

Sementara itu, Reuters melaporkan pemerintah tentera udara Iran berkata, negara itu tidak sabar untuk memerangi dan memusnahkan Israel.

Menurut kenyataan di laman web Young Journalist Club yang ada kaitan dengan kerajaan Iran, Brigadiar Jeneral Aziz Nasirzadeh berkata, “Pemuda dalam tentera udara bersedia sepenuhnya, tidak sabar untuk memerangi rejim Zionis dan menghapuskannya dari muka bumi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 6:15 AM