IMEJ Google Maps
IMEJ Google Maps
AFP

Damsyik: Israel menyerang sebuah bandar di selatan Damsyik, pada petang Rabu, menyebabkan kerosakan material, menurut media kerajaan Syria.

AFP melaporkan, ia adalah serangan udara kedua Israel ke atas Syria bulan ini, selepas rejim itu menyasarkan unit antipesawat pada 9 Februari.

Rejim itu memberi alasan ia tindak balas kepada peluru berpandu yang dilancarkan dari Syria.

Tentera Israel melakukan serangan dengan beberapa peluru berpandu dari Bukit Golan, menyasarkan bandar Zakiya pada 11.35 malam.

Seorang pemantau perang berkata, sasaran serangan adalah pos tentera Syria.

"Tembakan menyasarkan pos tentera," kata Rami Abdel Rahman, yang mengetuai Pemerhati Syria untuk Hak Asasi kepada AFP.

Pemantau yang berpangkalan di Britain itu bergantung pada rangkaian sumber yang luas di Syria.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera yang disokong Iran, dan pejuang gerakan Hizbullah.

Rejim Zionis berulang kali berkata, ia berusaha untuk menghalang musuh ketatnya iaitu Iran daripada meluaskan pengaruh di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 1:19 PM