POLIS marin Indonesia turut terbabit dengan operasi SAR berkenaan. FOTO AFP
POLIS marin Indonesia turut terbabit dengan operasi SAR berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Operasi pencarian kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang di perairan Bali, diteruskan hari ini.

Ketika kejadian, kapal selam KRI Nanggala-402 buatan Jerman tahun 1978 itu, membawa 53 kru. Ia dilaporkan hilang selepas terputus hubungan 4.30 pagi semalam di lokasi kira-kira 96 kilometer di perairan utara Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.

BBC Indonesia melaporkan Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Achmad Riad berkata, lima kapal perang dan satu helikopter Angkatan Laut TNI sudah melaksanakan operasi pencarian.

Beliau berkata, lima kapal itu adalah KRI Raden Eddy Martadinata 331, KRI Gusti Ngurah Rai 332, KRI Diponegoro 365, KRI dr Soeharso 990, KRI Pulau Rimau 724 dan Helly Panther.

Menurutnya, KRI Rigel 933 adalah kapal survei hidro oseanografi juga sedang menuju ke lokasi. "Kapal ini memiliki kemampuan untuk pengesanan bawah air.

"Kapal ini juga digunakan untuk beberapa operasi mencari dan menyelamat SAR lalu, seperti kejadian nahas pesawat Lion Air di Tanjung Karawang dan Sriwijaya Air di Kepulauan Seribu (Jakarta)," katanya.

Menurut Achmad Riad, kapal KRI Rigel dijangka tiba di lokasi pada 11 pagi, Jumaat.

TNI juga katanya, menerima bantuan daripada Singapura dan Malaysia.

Singapura akan menghantar kapal penyelamat kapal selam yang dijangka tiba di lokasi pada Sabtu.

Malaysia pula akan menghantar kapal penyelamat kapal selam, MV Mega Bakti.

Selain itu, TNI juga sudah mengerahkan pelbagai aset untuk ke lokasi.

Dalam pada itu, Achmad Riad, pemerhatian dari udara menunjukkan penemuan tumpahan minyak di kawasan posisi awal kapal selam itu menyelam.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk merumuskan bahawa ia adalah bahan bakar dari kapal berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Kapal selam Indonesia hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:39 AM