KERBAU albino yang diberi nama Ko Muang Phet. FOTO The Nation
KERBAU albino yang diberi nama Ko Muang Phet. FOTO The Nation
Agensi

Bangkok : Seekor kerbau albino dijual dengan harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) di sebuah pameran di Thailand, baru-baru ini.

The Straits Times melaporkan, kerbau diberi nama Ko Muang Phet itu adalah milik Damrongsak Morakot dari wilayah selatan Phetchaburi.

Walaupun berat untuk berpisah dengan Ko Muang Phet, Damrongsak berharap pemilik baharunya akan terus mempertahankan legasinya dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kerbau albino Thailand.

Menurut rekod, Ko Muang Phet memegang gelaran kerbau gergasi untuk pembiakan di Thailand selama beberapa tahun. Ia terkenal dengan 'kecantikannya' dan saiz yang sangat besar, pada ketinggian 180 sentimeter (sm),

Kerbau berumur lima tahun itu mempunyai keupayaan pembiakan luar biasa kerana 90 peratus daripada anaknya akan dilahirkan dengan ciri-ciri albino, menjadikannya ia aset penting dalam pembiakan kerbau.

Menambah kemasyhurannya, Ko Muang Phet juga mencatatkan kejayaan dalam dunia hiburan kerana membintangi watak kerbau Ai Khlaow dalam versi terbaru drama televisyen popular, Mon Rak Luk Thung.

Kerbau itu dibeli oleh Ladang Wanasuwan di Chiang Rai semasa Pesta Kerbau Thai Uthai Thani ke-12 yang diadakan pada hujung minggu lalu, pada harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) dan menjadikannya pemerolehan kerbau paling mahal.

Menurut laporan media, Ko Muang Phet sudah 'bersara' daripada pertandingan dan pemiliknya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan generasi baharu kerbau albino.

Damrongsak menerangkan bagaimana semangatnya untuk meneroka potensi industri kerbau Thailand membawanya kepada Ko Muang Phet.

Bermula dengan pembelian dan penternakan kerbau biasa, Damrongsak secara beransur-ansur membina sembilan Ladang Morakot di daerah Tha Yang, Phetchaburi.

Dia membesarkan Ko Muang Phet dan memelihara kerbau itu seperti kanak-kanak serta menjadikannya haiwan kesayangan di ladangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 2:06 PM