BERNAMA

Satun: Pihak berkuasa Thailand merampas 1.2 tan heroin dan syabu bernilai kira-kira 1 bilion baht (kira-kira RM131.5 juta) di hutan paya bakau berhampiran sempadan Thailand-Malaysia di wilayah Satun.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa Maritim Thailand berkata dadah yang dibungkus dalam surat khabar dan disembunyikan dalam 39 peti serta plastik sayuran itu dijumpai bertaburan dekat hutan bakau di Khlong Tammalang, daerah Muang pada Khamis.

"Siasatan awal mendapati dadah itu dijatuhkan pengedar dan kemudian akan diambil kumpulan lain untuk diedarkan.

"Dadah itu untuk dipasarkan ke negara ketiga," katanya.

Media tempatan melaporkan rampasan dadah itu adalah antara yang terbesar di wilayah Satun, dipercayai untuk dihantar ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:29 PM