PROF Richard Scolyer didiagnosis dengan kanser otak yang paling serius. FOTO Agensi
PROF Richard Scolyer didiagnosis dengan kanser otak yang paling serius. FOTO Agensi
Agensi

Canberra: Seorang doktor yang juga pesakit kanser otak di Australia, mempertaruhkan nyawa apabila menggunakan kaedah rawatan baharu bagi mengubati penyakitnya itu, lapor potal Mirror.

Prof Richard Scolyer sebelumnya disahkan menghidap kanser otak yang paling serius, dengan jangka hayatnya dianggarkan kurang daripada setahun selepas diagnosis.

Menurutnya, subjenis glioblastoma pada kanser itu sangat agresif sehinggakan dia berasa seperti bom jangka.

Namun, dia tidak mahu mengalah dan memutuskan untuk menjalani kaedah rawatan baharu.

Kira-kira 30 tahun lalu, Scolyer pernah bertemu Prof Georgina Long dan mereka melakukan penyelidikan untuk rawatan kanser kulit atau melanoma.

Didorong oleh kerja mereka dalam bidang kanser kulit itu, Scolyer berazam untuk melakukan perkara sama untuk prognosisnya.

Long merumuskan rancangan radikal untuk merawat Scolyer berdasarkan apa yang berkesan dalam melanoma tetapi tidak pernah diuji untuk rawatan kanser otak.

Penyelidikan mereka dengan melanoma mendapati bahawa imunoterapi berfungsi lebih baik apabila gabungan ubat digunakan dan apabila ia diberikan sebelum sebarang pembedahan untuk membuang kanser.

Scolyer tidak lama kemudian menjadi pesakit kanser otak pertama yang pernah menerima gabungan imunoterapi prapembedahan.

Dia juga adalah orang pertama yang diberi vaksin yang diperibadikan kepada penanda kanser dihidapi, yang meningkatkan kuasa pengesanan kanser bagi ubat-ubatan itu.

Selepas analisis kanser yang dikeluarkan dari otaknya, mereka mendapati ubat-ubatan itu berjaya sampai ke otaknya dan terdapat letupan sel imun yang pasukan itu harapkan akan menyerang sel kansernya.

Purata masa untuk kanser glioblastoma kembali ialah enam bulan selepas pembedahan. Tetapi lapan bulan kemudian, selepas imunoterapi berterusan, dia tidak menunjukkan tanda-tanda kanser aktif dan otaknya dalam keadaan normal.

Kini terdapat harapan menerusi eksperiman itu dan ia dijangka dapat membantu 300,000 orang yang didiagnosis dengan kanser otak di seluruh dunia setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 2:56 PM