Muhamaad Razis Ismail


KARSINOMA hepatoselular (HCC) adalah kanser hati primer yang timbul dari sel hati yang terbentuk daripada penyakit hati kronik untuk jangka masa panjang.

HCC adalah kanser keenam paling lazim yang menjadi punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia dengan 2,149 kes baharu dan 2,050 kematian pada tahun lalu.

Kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati bahawa rata-rata usia pesakit HCC ialah 61 tahun dan 80 peratus daripadanya terdiri daripada lelaki.

"Mereka yang mengalami simptom yang berkait dengan kanser tahap lanjut atau penyakit hati tersembunyi kebiasaannya tidak akan hidup melebihi enam bulan selepas mendapat diagnosis kanser hati

Ahli Onkologi Klinikal dan Pensyarah Unit Onkologi Klinikal, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Wan Zamaniah Wan Ishak berkata, Hepatitis B adalah penyebab HCC yang paling lazim di Malaysia, diikuti dengan penyakit hati berlemak juga dikenali sebagai penyakit hati berlemak bersindrom metabolik (MAFLD).

"Kanser hati disebabkan lemak meningkat dengan kadar yang membimbangkan kerana didorong peningkatan kadar obesiti di negara kita.

"Oleh itu pengesanan kanser hati awal dengan menggunakan ultrasound hati bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami HCC adalah penting untuk meningkatkan kelangsungan hidup,

" katanya.

Beliau berkata, antara individu harus menjalani pemeriksaan kanser hati secara berkala adalah semua pesakit yang mengalami sirosis.

PERATUSAN kematian akibat kanser di seluruh dunia.
PERATUSAN kematian akibat kanser di seluruh dunia.

"Selain itu, mereka yang mengalami Hepatitis B kronik juga berisiko menghidapi HCC dan disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan kanser hati setiap enam bulan untuk lelaki berusia lebih dari 40 tahun dan wanita berusia lebih dari 50 tahun.

"Mereka yang mempunyai sejarah kanser hati dalam keluarga juga disyorkan untuk menjalani pemeriksaan lebih awal," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Hepatologi, Fakulti Perubatan UM, Profesor Dr Rosmawati Mohamed pula berkata, HCC boleh dirawat jika ia dapat dikesan pada tahap awal.

Katanya rawatan yang disediakan untuk HCC bergantung pada status kanser, keparahan penyakit hati serta kesihatan pesakit secara keseluruhan.

"Pembedahan seperti transplan hati atau reseksi hati terbukti sebagai rawatan yang paling berkesan untuk pesakit HCC.

"Namun, aplikasinya terhad kerana hanya terdapat sebilangan kecil kes HCC yang didiagnosis pada tahap awal. Rawatan efektif lain yang tersenarai dalam garis panduan antarabangsa adalah intervensi berpandukan pencitraan dan terapi sistemik.

"Terapi sasaran membabitkan pemberian ubat yang memusnahkan sel kanser sambil mengurangkan kerosakan pada sel yang sihat. Imunoterapi mendidik sistem imun badan untuk mengenali dan menyerang sel kanser tertentu untuk menghapuskan kanser," katanya.

Baru-baru ini, rejimen rawatan imunoterapi baharu yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (US FDA) dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah menyertai landskap rawatan HCC untuk pesakit dengan HCC di tahap lanjut. Ini menyebabkan pengurangan yang ketara dalam risiko kematian dan perkembangan kanser hati.

Mengulas lanjut, HCC boleh diuruskan dengan lebih baik melalui pendekatan multidisiplin dalam kalangan pakar daripada pelbagai latar belakang.

"Di PPUM, kes HCC dibincangkan dengan kerap dalam mesyuarat mingguan pasukan multidisiplin (MDT) pada setiap Rabu membabitkan pakar hepatologi dan gastroenterologi, pakar bedah hati, ahli radiologi intervensi dan ahli onkologi.

"Sebelum pandemik Covid-19, pendekatan multidisiplin yang dipraktikkan selama lebih daripada 10 tahun ini menggunakan teknologi digital inovatif untuk membincangkan pengurusan pesakit kanser hati," katanya.

Katanya, penyediaan perkhidmatan kesihatan yang paling berkesan berlaku apabila pakar berganding bahu untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

"Hal ini termasuk menggunakan pendekatan digital untuk menyatukan doktor pakar dan penyedia perkhidmatan kesihatan lain bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja secara mendadak, menawarkan pembelajaran pesat dan penyebaran amalan penjagaan terbaik untuk mengurangkan variasi dalam rawatan, menyediakan akses rawatan kepada pesakit luar bandar dan pesakit yang kurang berkemampuan dan mengurangkan jurang akses antara rakyat Malaysia.

"Kita juga perlu meningkatkan kesedaran dan akses kepada ujian saringan bagi mereka yang mungkin tidak sedar bahawa mereka berisiko menghidapi HCC.

"Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk mengurangkan beban penyakit dan kematian yang disebabkan kanser hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:40 AM